Anda di sini

Inter Milan langkah kanan ke separuh akhir Piala Itali

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Piala Itali di antara Inter Milan dan Cagliari di Stadium San Siro, Milan. — Gambar AFP
PENUH AKSI: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Piala Itali di antara Inter Milan dan Cagliari di Stadium San Siro, Milan. — Gambar AFP

MILAN, Itali: Romelu Lukaku menjaringkan gol dalam masa 21 saat selepas sepak mula sebelum menjaringkan satu lagi gol ketika Inter Milan membelasah Cagliari 4-1 untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Itali, sementara Lazio dan Napoli dijangka akan bertemu di peringkat suku akhir selepas masing-masing mudah menewaskan lawan dari divisyen dua.

Lukaku kelihatan semakin menyerlah sejak berpindah ke Itali dan dua gol beliau Selasa lepas menjadikan beliau menjaringkan enam gol dari empat perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, dengan jumlah gol dalam liga adalah 14 gol dari 19 perlawanan.

“Inter adalah pilihan terbaik untuk saya, di sini saya boleh berkembang sebagai pemain dan membantu kelab dengan gol saya,” kata Lukaku.

“Saya memberikan segala-galanya untuk pasukan dan itulah cara saya bermain – itulah apa yang penyokong suka.”

Penyerang antarabangsa Belgium berusia 26 tahun itu membuka jaringan seawal 21 saat selepas speak mula sebelum Borja Valero menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-22 dan Lukaku menjaringkan gol kedua peribadi dan ketiga pasukannya tiga minit selepas rehat dari satu tendangan sudut Nicolo Barella.

Christian Oliva merapatkan kedudukan buat Cagliari pada minit ke-73 tetapi Andrea Ranocchia menamatkan segala kebangkitan lewat Cagliari dengan gol keempat dari satu tendangan sudut Cristiano Biraghi.

Kemenangan membantu Inter kembali bersemangat selepas membenarkan Juventus merampas kembali tangga teratas liga setelah seri 1-1 dengan Atalanta pada hujung minggu lepas dan kepulangan Alexis Sanchez yang pulih dari kecederaan juga merupakan berita baik untuk jurulatih Antonio Conte.

Inter akan menentang sama ada Atalanta atau Fiorentina, yang bermain lewat.

Mereka akan disertai oleh Lazio dan Napoli di suku akhir selepas masing-masing mudah menewaskan kelab divisyen dua, Cremonese dan Perugia.

Lazio, juara bertahan kejohanan, yang mencipta rekod kelab dengan 10 kemenangan liga berturut-turut dan mengintai saingan kejuaraan liga, menewaskan Cremonese 4-0 di Rom.

Pasukan tuan rumah membuka jaringan kurang dari 10 minit selepas sepak mula apabila Patric, yang menolak bola muntah selepas penjaga gol Cremonese, Michael Agazzi, gagal menepis bola dengan kemas dan saingan sudah berakhir 16 minit kemudian apabila Marco Parolo menjaringkan gol kedua dari umpanan Jony.

Jurulatih Lazio, Simone Inzaghi melakukan lapan pertukaran dari pasukan yang menewaskan Napoli 1-0 hujung minggu lepas tetapi mengekalkan penjaring terbanyak kelab, Ciro Immobile, yang menambah koleksi 23 gol dalam semua pertandingan apabila menyempurnakan penalti 12 minit selepas rehat untuk gol ketiga sebelum Bastos melengkapkan jaringan pada minit akhir.

Napoli, yang berada di tangga ke-11 Serie A Itali selepas hanya menang satu perlawanan liga sejak pertengahan bulan Oktober, melupakan sedikit kekecewaan mereka apabila menewaskan Perugia 2-0 menerusi dua tendangan penalti Lorenzo Insigne. — AFP

Advertisement