Anda di sini

‘Tapang Bisi Rembia’ album solo terbaharu Bibie Sulu

Advertisement
 Inilah kulit depan album Bibie Sulu yang sudah berada di pasaran.
TERBAHARU: Inilah kulit depan album Bibie Sulu yang sudah berada di pasaran.

BEKAS vokalis kumpulan Swan Angel, Bibie Sulu muncul dengan album keduanya berjudul ‘Tapang Bisi Rembia’ awal tahun ini.

Sebelum menjadi vokalis utama kumpulan yang dianggotai lima orang wanita itu, Bibie Sulu terlebih dahulu telah mencuba nasib dengan lagu ‘single’ berjudul ‘Engka Nuan’ pada tahun 2013.

Namun setahun kemudian, apabila menyertai Swan Angel nama Bibie Sulu melonjak dengan lagu ‘Peruji Ati’ daripada kumpulan tersebut.

Sejak itu, lagu ‘Peruji Ati’ ciptaan kumpulan itu sendiri hampir setiap hari berkumandang di udara sama ada melalui radio atau media sosial digital.

Lagu tersebut juga pernah mengungguli senarai lagu popular Anugerah Carta Siapa Juara (ACSJ) 2016 tetapi gagal ke peringkat akhir.

Pada masa pertandingan peringkat separuh akhir ACSJ 2016 yang diadakan di Dewan Suarah Sibu, Bibie Sulu bukan lagi vokalis Swan Angel dan beliau tidak menyertai kumpulan tersebut ketika beraksi di peringkat tersebut atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Mengimbau kembali kemunculan album pertamanya pada Jun 2014, Bibie Sulu muncul dengan ‘Memori Ransi’ terbitan LUH Production Sdn Bhd.

Pada tahun 2020 ini, Bibie Sulu muncul lagi dengan album solo keduanya ‘Tapang Bisi Rembia’.

BIBIE SULU
BIBIE SULU

Ramai peminat penyanyi popular ini yang bertanya, mengapa lagu yang berlirik puitis ini dipilih menjadi judul albumnya.

‘Tapang Bisi Rembia’ ialah frasa peribahasa yang popular dalam bahasa Iban yang bermaksud, pokok tapang adalah tempat hinggap lebah yang menghasilkan madu.

Mengikut kepercayaan kaum Iban, pokok tersebut biasanya didiami dan dijaga sejenis hantu/jin yang bernama Rembia.

Maka maksud peribahasa ‘Tapang Bisi Rembia’ ialah seseorang wanita atau teruna yang sudah ada kekasih atau suami/isteri.

Keistimewa lagu ini, ianya diiringi oleh irama tulen daripada ‘Live Band’ sebuah kumpulan muzik rock terkenal di Bandaraya Miri.

Satu lagi keistimewaan lagu ini, liriknya yang puitis penuh dengan keindahan gaya bahasa Iban adalah hasil karya novelis dan komposer terkenal Harry Usup Umbar.

“Selain sebagai penulis lirik dan komposer lagu album ini, Harry juga menjadi penyunting lirik beberapa buah lagu saya untuk menentukan tiada pencemaran bahasa Iban yang berlaku dalam album ini,” kata Bibie Sulu semasa ditemui Utusan Borneo di Sibu, baru-baru ini.

Menurut Bibie Sulu, album keduanya ini memuatkan 10 buah lagu yang terdiri daripada ‘Tapang Bisi Rembia’, ‘Ukai Indu Bajik’, ‘Mungkal Nanjar’, ‘Besaruk Puchuk Betipan Dan’, ‘Pegi’, ‘Senaya Misteri Ati Tua’, ‘Pengerindu Segala Ina’, ‘Belelang’, ‘Selamat Melah Pinang’ dan ‘Memori Tanjung Batu’.

Jelasnya lagi, semua lagu tersebut berentak slow rock, balada, pop, agogo, dangdut dan rock.

Selain Bibie Sulu sendiri dan Harry beberapa orang artis Iban terkenal juga turut bepadu tenaga sebagai penulis lirik dan komposer album ini seperti Natz D’Kenyalang, Alexander Edward, Regina Rantai dan Amis U.

Beberapa orang pemuzik profesional juga turut menjayakan album ini seperti Davney David, Natz D’Knyalang, Live Band (Nesshirul, Max, Adie, Annette & Jonathan) untuk susunan muziknya.

Bagi adunan muzik dan ‘Mastering’ komposer yang terlibat ialah Iskandar Bujang.

Beliau berkata, lokasi penggambaran video klip ini dijalankan di Thailand, Sabah, Miri, Bintulu dan Sibu.

Lagi mengenai artis Iban yang kecil molek ini, Bibie Sulu atau nama sebenarnya Catherina Suluwaty Harry Usup ialah anak bongsu dari pada empat orang adik beradik.

Beliau berkelulusan Tingkatan 6 dari SMK Sibu Jaya dan seterusnya menjalani beberapa kursus profesional sebelum bekerja sebagai ‘Site Safety Supervisor’ di beberapa buah syarikat terkenal di Malaysia.

Kini beliau sedang melanjutkan pelajarannya dalam bidang ‘Site Safety’ di samping terus bekerja di syarikat tersebut.

Mungkin sebab itulah, Bibie Sulu telah mengambil masa empat tahun untuk menyiapkan album baharunya ini, sebab terlalu sibuk dengan kerja.

Di samping itu, Bibir juga masih aktif menyanyi di pentas tetapi jarang sebab jadual kerja dan pelajarannya.

Menurutnya lagi, setakat ini beliau hanya dapat menerima tawaran menyanyi pada waktu cuti umum sahaja melainkan di sekitar Miri, Lawas dan Limbang dan Brunei.

“Akhir sekali, saya ingin mengucap terima kasih kepada semua peminat dan penyokong, peminat Bibie Sulu yang masih tetap setia sepanjang karier menjadi penyanyi dalam industri muzik Dayak terutamanya kepada keluarga, suami, rakan-rakan artis dan bukan artis dan juga peminat yang masih setia.

“Saya berharap agar album ‘Tapang Bisi Rembia’ ini dapat memenuhi citarasa peminat-peminat saya,” kata Bibie Sulu mengakhiri perbualannya bersama penulis.

Mereka yang berminat atau pihak penganjur yang ingin mengundang Bibie Sulu untuk membuat persembahan dalam mana-mana majlis, program dan sebagainya bolehlah menghubunginya di talian 012-8722971.

  • oleh
  • Advertisement