Anda di sini

Tampuk kepimpinan negeri harus dipegang rakyat sendiri

Advertisement
 Tiong bersalaman dengan penduduk Rumah Nyundang Jalin pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Ahad lalu.
MESRA: Tiong bersalaman dengan penduduk Rumah Nyundang Jalin pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Ahad lalu.

SIBU: Hanya rakyat Sarawak yang layak memegang tampuk kepimpinan negeri Sarawak, tegas Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) Dato Seri Tiong King Sing.

Ahli Parlimen Bintulu itu turut menegaskan bahawa orang luar tidak mempunyai hak untuk mengambil alih atau menguasai Sarawak.

“Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak(GPS) akan berusaha sedaya upaya melindungi dan mempertahankan negeri ini daripada anasir-anasir luar yang cuba memecahbelahkan rakyat Sarawak,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Nyundang Jalin, Batu 13, Jalan KJD, dekat Sibu, Ahad lalu.

Pada masa yang sama, Tiong turut meminta rakyat di kawasan Dudong membuat penilaian bijak antara transformasi yang telah dilakukan oleh Kerajaan Sarawak di bawah GPS dengan reformasi yang cuba diketengahkan kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam konteks tersebut tegasnya, rakyat harus bijak menilai segala usaha dan kesungguhan Kerajaan Sarawak khususnya GPS dalam mentadbir dan memajukan negeri ini.

“Jangan mudah terpedaya dan terpengaruh dengan dakyah mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Oleh itu, saya mengajak rakyat di kawasan Dudong supaya mempertahan serta memperkukuhkan kemakmuran, kesejahteraan, perpaduan, persefahaman dan muhibah antara kaum-kaum yang ada,” katanya.

Dalam hubungan ini katanya, pendekatan GPS selama ini yang sentiasa turun padang untuk menghampiri rakyat harus diteruskan.

Jelasnya, dengan cara ini, wakil rakyat yang dipilih dapat mengenal pasti permasalahan serta mengambil tindakan untuk menyelesaikan permasalah rakyat dengan segera.

“Ini adalah salah satu cara untuk mendampingi akar umbi dan rakyat keseluruhannya dengan lebih dekat, sekali gus ini juga mencerminkan satu budaya para pemimpin GPS,” tambahnya.

Pada majlis tersebut, Tiong turut mengumumkan geran peruntukan sebanyak RM30,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2020 untuk menaik taraf rumah panjang selain geran peruntukan RM5,000 untuk Biro Wanita rumah panjang berkenaan.

Advertisement