Anda di sini

Skuad Tambadau temui peminat di Membakut pada Jumaat

Advertisement
HENRY SAIMPON
HENRY SAIMPON

Bersama bekas-bekas  pemain Sabah sempena program jelajah

KOTA KINABALU: Pada hari Jumaat giliran peminat bola sepak di Membakut dan daerah sekitarnya bertemu dengan bekas pemain Sabah dan skuad Liga Super Tambadau Sabah 2020.

Naib presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Henry Saimpon berkata, bekas pemain-pemain Sabah akan mewakili pasukan Sabah Mix Team dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan pilihan Ngian FC Pimping, Membakut.

"Perlawanan itu akan berlangsung di padang SK Pg Jaya Pimping, Membakut. Sepak mula adalah pada jam 4.00 petang.

"Oleh itu, kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai. Selain menyaksikan bekas pemain-pemain Sabah beraksi, orang ramai juga berpeluang bertemu dengan anggota skuad Tambadau Sabah musim ini kerana mereka juga akan turut datang," kata Henry.

Henry yang juga pengurus pasukan Tambadau Sabah musim ini berkata, kehadiran skuad Tambdau Sabah 2020 itu adalah antara program jelajah mereka mempromosikan skuad Sabah musim ini.

"Tahun lalu, skuad Tambadau Sabah juga telah membuat beberapa siri jelajah seperti ke Tenom dan Nabawan. Esok giliran Membakut dan kali ini lebih istimewa kerana turut bersama ialah bekas pemain-pemain Sabah," kata Henry yang akan turut membarisi Sabah Mix Team.

Antara bekas pemain Sabah lain dalam senarai Sabah Mix Team ialah Jelius Ating, Burhan Ajui, Rizal Awang Jad, Salvester Sindi, Yap Wai Loon, Dominic Minci, Andrew Laban, Andrew Majanggim, Harun Laban, Jainin Tinin, Jekerison Kilan, Billyton Vun Kit Ming, Justin Ganai, Johnny Dominicus, Faizal Ahmad, Hashim Hamzah, Dante S Tipay dan Mohd Yusri.

Turut dalam senarai ialah ketua jurulatih skuad Tambadau Sabah 2020, Kurniwan Dwi Yulianto dan jurulatih kecergasan Sofie Imam Faizal.

Dijangka turut akan membuat penampilan ialah Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

  • oleh
  • Advertisement