Anda di sini

Phoong terima kunjungan hormat pasukan tenis ringan wanita Daegu

Advertisement
 Phoong (tengah) bersama anggota pasukan tenis ringan Daegu Bank dan ahli SSTA yang telah membuat kunjungan hormat di pejabatnya baru-baru ini.
KUNJUGAN HORMAT: Phoong (tengah) bersama anggota pasukan tenis ringan Daegu Bank dan ahli SSTA yang telah membuat kunjungan hormat di pejabatnya baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Menterei Belia Dan Sukan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe menerima kunjungan hormat pasukan tenis ringan wanita Daegu Bank dan Persatuan Tenis Ringan Negeri Sabah (SSTA) di pejabatnya di Wisma Muis dekat sini baru-baru ini.

Pasukan Daegu itu terdiri daripada ketua pasukan, Cho Kyung-Soo; ketua pasukan, Kim Ji-Yeon; Seo Yeon-Hee, Kim Ji-Soo, Jo Eun-Jung, Kim Min-Ju dan Kim Han-Seol.

Cho berkata, ia adalah kali kedua mereka datang ke sini untuk mengadakan latihan pusat selepas kali pertama tahun lalu.

Mereka memilih Sabah untuk menjalani latihan pusat di luar negara ekoran cuaca sejuk di Korea.

Pegawai luar negeri SSTA, KK Chin berkata, pasukan itu berada di sini sejak 6 Januari hingga 21 Januari.

"Selain menjalani latihan pusat, mereka juga membantu pemain-pemain tempatan berlatih," kata Chin ketika dihubungi kelmarin.

Menurutnya, ketua jurulatih tenis ringan Filipina, Yoon Jaekoo juga telah datang bertemu dengan pasukan Daegu itu di sini.

Chin berkata, pasukan Daegu telah menghulurkan tajaan dengan menyumbangkan baju dan stokin kepada pemain negeri ini manakala SSTA menerima 20 kotak bola tenis ringan yang akan digunakan untuk program pembangunan.

Cho memberitahu bahawa mereka gembira untuk terus datang ke sini untuk tujuan sama tahun depan tetapi beliau memohon agar gelanggang tenis (gelanggang 5 dan 6) yang mereka gunakan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK) dinaik taraf kerana kondisinya sekarang tidak selamat untuk pemain berlatih.

Daegu ialah juara keseluruhan Liga Profesional Korea tahun lalu yang turut menyaksikan Ji-Yeon muncul juara perseorangan manakala Eun-Jung dan Min-Ju berjaya mara sehingga ke separuh akhir.

"Kunjungan ke sini tahun lalu adalah antara motivasi kami berkerja keras dalam latihan dan ianya membuahkan hasil di mana kami muncul juara," kata Ji-Yeon.

Sambil itu, Chin memberitahu bahawa beliau telah dipilih sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Tenis Ringan Asia semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa badan induk tenis ringan Asia itu di Filipina semasa Sukan SEA tahun lalu.

Chin berkata, beliau merancang untuk mengadakan sebanyak mungkin kursus teknikal dan kejurulatihan serta membawa kejohanan antarabangsa di sini.

Sehubungan dengan itu, beliau juga memohon agar Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Sabah dapat menaik taraf gelanggang untuk sukan tenis ringan di KSKK secepat mungkin.

Phoong dalam responnya berhubung perkara itu berkata, ia memang menjadi keutamaannya terutama Kota Kinabalu akan menjadi tuan rumah Kejohanan Junior Asia dan Sukan Tenis Ringan Universiti Asia pada Ogos 2020.

Phoong berterima kasih kepada SSTA kerana telah membawa pasukan dari Korea berlatih di sini dan berharap lebih ramai pasukan tenis ringan luar negara akan turut datang.

  • oleh
  • Advertisement