Anda di sini

Perangi ancaman dadah

 Ramli (dua kiri), Hasbullah (kiri), Norzanah dan Abang Zainal Abidin pada sidang media di IPD Limbang, semalam.
LANGKAH AGRESIF: Ramli (dua kiri), Hasbullah (kiri), Norzanah dan Abang Zainal Abidin pada sidang media di IPD Limbang, semalam.

LIMBANG: Polis mengambil langkah agresif dalam memerangi ancaman dadah yang semakin menular tanpa mengira lapisan masyarakat dengan meningkatkan serbuan dan operasi di seluruh negeri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ramli Din berkata, isu dadah terus diberi tumpuan pada tahun ini, selain judi dan jenayah lain.

“Kes dadah kini semakin serius dan menular bukan saja di bandar tetapi seluruh pelosok pedalaman.

“Semalam (kelmarin) ada pesta dadah di Semenanjung dan orang yang mempunyai kedudukan juga terlibat dengan dadah,” ujarnya pada sesi dialog bersama ketua masyakarat dan ketua kaum   sempena lawatan kerjanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Sarawak SAC Dato Muhamed Hasbullah Ali, Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sarawak SAC Norzanah Buang, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak SAC Denis Leong Soon Kuan dan Ketua Polis Daerah Limbang Superitenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad.

Ramli berkata, pusat hiburan menjadi ‘port’ berhibur sambil menghisap dadah dan bermain judi.

Beliau memberitahu seramai tujuh individu di tangkap di Miri awal bulan ini membabitkan rampasan dadah pelbagai jenis seberat lebih sembilan kilogram.

“Polis Sarawak juga bertindak tegas dengan penahanan 60 orang di pusat hiburan di Kuching kerana disyaki terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, 13 anggota polis positif dadah dalam Ops Blue Devil yang dijalankan polis khusus bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga polis.

“Dalam operasi ini nasihat dan tindakan tegas diambil terhadap anggota polis yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah pada tahun lepas,” dedahnya.

Mengenai kes judi, Ramli berkata sebanyak 76 serbuan berjaya dilancarkan di seluruh Sarawak termasuk merampas wang perjudian bernilai RM45,000.

“Bagi kes sabung ayam, 50 orang ditangkap di kawasan Sibu dan juga di daerah lain yang menjalankan aktiviti tersebut,” katanya.

Beliau memberitahu lagi, pendekatan polis Sarawak bersama masyarakat sesuai dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ akan diamalkan bagi menangani aktiviti jenayah di negeri ini.

Lawatan semalam katanya, penting dalam mendengar denyut nadi masyarakat, masalah setempat dan masalah kepolisian agar tindakan susulan dapat diambil bagi mengekalkan keselamatan dan ketenteraman negeri termasuk di Limbang.