Anda di sini

Nilai eksport produk perkayuan Sarawak catat penurunan pada tahun 2019

Advertisement
Awang Tengah menerima cenderamata penghargaan daripada Hashim (kanan) selepas merasmikan Seminar Liabiliti Korporat terhadap Rasuah anjuran PUSAKA, hari ini.
Awang Tengah menerima cenderamata penghargaan daripada Hashim (kanan) selepas merasmikan Seminar Liabiliti Korporat terhadap Rasuah anjuran PUSAKA, hari ini.

KUCHING: Prestasi industri perkayuan Sarawak berdasarkan nilai eksport produk kayu sepanjang tahun 2019 menunjukkan penurunan sebanyak 17 peratus berbanding tempoh sama tahun 2018.

Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) mendedahkan jumlah nilai eksport produk perkayuan dari Sarawak bagi tempoh tahun 2019 adalah sebanyak RM4.5 bilion.

"Ia menunjukkan penurunan sebanyak 17 peratus pada tahun 2019 jika dibandingkan dengan nilai eksport RM5.4 bilion pada tahun 2018.

"Papan lapis kekal sebagai produk perkayuan utama yang dieksport oleh Sarawak," menurut PUSAKA menerusi kenyataan media yang diedarkan sempena Seminar Liabiliti Korporat terhadap Rasuah di sini, hari ini.

Seminar anjuran bersama PUSAKA, GRM Training Sdn Bhd dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Tambah PUSAKA, nilai eksport papan lapis bagi tahun 2019 ialah RM2.3 bilion berbanding dengan RM3 bilion pada tahun 2018, iaitu penurunan sebanyak 23 peratus.

Selain papan lapis, antara produk perkayuan utama di eksport pada tahun lepas ialah balak yang bernilai RM722, kayu gergaji (RM583 juta), papan gentian (RM351 juta), kayu racik (RM174 juta) dan venir (RM94 juta).

Sementara itu menurut PUSAKA, Jepun kekal sebagai pasaran utama produk perkayuan Sarawak.

"Nilai eksport ke Jepun bagi tahun 2019 adalah RM2.1 bilion, dan ia menunjukkan penurunan sebanyak 22 peratus jika dibandingkan dengan nilai eksport RM2.7 bilion pada tahun 2018," menurutnya.

Selain Jepun, antara negara pasaran terbesar Sarawak pada tahun 2019 adalah India dengan nilai eksport ke negara itu RM517 juta diikuti Timur Tengah (RM422 juta), Taiwan (RM325 juta) dan Korea (RM248 juta).

Seminar berkenaan turut dihadiri, Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Perancangan Bandar dan Sumber Asli Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio-Ekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengurus Besar PUSAKA, Hashim Bojet.

  • oleh
  • Advertisement