Anda di sini

Naik taraf rumah pam atasi masalah kekurangan air di kawasan bendang di SPU

Advertisement
 Dr Afif B (tiga, kanan) meninjau kawasan tali air yang kekurangan air untuk kegunaan sawah padi susulan musim kemarau sehingga menyebabkan produktiviti padi dan pendapatan pesawah menurun, di Kampung Paya Keladi semalam. — Gambar Bernama
TINJAUAN: Dr Afif B (tiga, kanan) meninjau kawasan tali air yang kekurangan air untuk kegunaan sawah padi susulan musim kemarau sehingga menyebabkan produktiviti padi dan pendapatan pesawah menurun, di Kampung Paya Keladi semalam. — Gambar Bernama

KEPALA BATAS: Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran negeri akan menyediakan pam bergerak serta menaik taraf rumah pam bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang dihadapi lebih 800 petani di sekitar Skim Pengairan Seberang Perai Utara (SPU).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Afif Bahardin berkata sawah padi yang diusahakan petani di kawasan Paya Keladi dan Pinang Tunggal, di sini berdepan masalah kekurangan bekalan air berikutan musim kemarau sehingga menyebabkan produktiviti padi dan pendapatan pesawah menurun.

“Untuk jangka masa pendek, kita sudah mengenal pasti kawasan yang boleh pam air untuk dibawa ke bendang iaitu dari Sungai Muda malah saya telah mengarahkan Jabatan Pertanian untuk mengeluarkan semua pam yang ada untuk kita gerakkan di sepanjang sungai itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan bendang yang terjejas di Paya Keladi di sini, semalam.

Difahamkan keseluruhan kawasan yang terjejas adalah seluas 1,164 hektar melibatkan 827 petani di kawasan SPU.

Dr Afif berkata Jabatan Pertanian turut mempertimbang untuk mendapatkan sumber bekalan air dari ‘tube well’ bagi mengatasi masalah itu.

Beliau berkata, Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda juga bersetuju untuk melepaskan air dari Empangan Beris, Kedah dan pihaknya mengharapkan kerjasama yang lebih baik dengan pihak berkenaan untuk menambah keperluan bagi menampung bekalan air di kawasan sawah di Pinang Tunggal dan Paya Keladi.

Dalam pada itu, Dr Afif turut melahirkan rasa terkilan terhadap projek pembinaan rumah pam di Pinang Tunggal yang sepatutnya dijadual beroperasi sepenuhnya 5 Dis lepas, namun masih belum beroperasi.

“Saya dimaklumkan pihak IADA bahawa projek itu sepatutnya siap pada 5 Dis tapi berlaku kelewatan dari segi spesifikasi untuk mendapatkan pam yang diimport dari luar. Pam itu dijangka sampai dalam tempoh tiga minggu tetapi dalam masa yang sama ada ‘bypass pump’ berjalan seperti biasa cuma untuk jangka masa panjang ada penambahan dari segi kapasiti pam itu sendiri.

“Saya dah minta jurutera JPSPP untuk semak kedudukan pam itu dan saya minta untuk percepatkan perkara ini kerana kita masih perlukan air dalam 20 hingga 30 hari untuk mengekalkan penanaman padi pada musim ini. Jika tidak, ia akan menjejaskan seluruh musim sebab ini tempoh yang kritikal,” katanya. — Bernama

Advertisement