Anda di sini

Kuching FA ‘rantai’ penggempur Jepun

Advertisement
 Pemain-pemain Kuching FA gigih menjalani latihan menjelang sepak mula Liga Premier 2020 pada 29 Februari depan.
GIGIH: Pemain-pemain Kuching FA gigih menjalani latihan menjelang sepak mula Liga Premier 2020 pada 29 Februari depan.

KUCHING: Pengumuman pasukan Kuching FA dan Piala Presiden Kuching FA dijadualkan berlangsung hari ini (Rabu) ditunda ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA).

Presiden KDFA, Fazzrudin Abdul Rahman berkata pihaknya terpaksa menunda pengumuman itu kerana masalah dokumentasi pemain import yang mereka hendak ambil.

“Memang kita merancang untuk mengumumkan nama pemain bagi kedua-dua pasukan itu esok (hari ini). Bagaimanapun, disebabkan masalah dokumentasi pemain import kita terpaksa menangguh dahulu pengumuman itu ke satu tarikh lain yang akan diberitahu nanti,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan Kuching FA telah menambat pemain import dari Jepun, Akira Higashiyama menjadikan pasukan itu kini memiliki dua pemain import.

Menurutnya, Kuching FA akan menandatangani pemain-pemain baharu dalam masa terdekat untuk melengkapkan kuota pemain import pasukan itu pada musim ini.

Bagaimanapun, Pengurus Kuching FA itu enggan mendedahkan butiran lanjut pemain baharu terbabit.

Mengenai Akira, Fazzrudin percaya pengalaman dan kualiti dimiliki pemain itu dapat memperkuat jentera serangan pasukan Kuching FA mengharungi kempen Liga Premier musim ini.

Akira, 30, bermain di posisi serangan merupakan rakan baik pemain import Kuching FA, Yuta Suzuki di mana kedua-duanya pernah bermain bersama ketika menuntut di universiti Kyoto, Jepun.

Selain bermain, Akira juga merupakan seorang jurulatih dan beliau mempunyai Lesen ‘A’ AFC dan pernah melatih kelab di Mongolia sebelum ini.

Kelab terakhir disertainya adalah Southland United FC yang berpangkalan di New Zealand.

Kuching FA akan membuka tirai Liga Premier 2020 menentang UKM FC di Stadium Negeri, Petra Jaya pada 29 Februari depan, jam 8.15 malam.