Anda di sini

Barca pecat Valverde, lantik Setien sebagai pengganti

Advertisement
 Barca melantik Setien sebagai ketua jurulatih baharu Barcelona selepas mencapai persetujuan umtuk menamatkan kontrak  Valverde kelmarin. — Gambar AFP
TERUJA: Barca melantik Setien sebagai ketua jurulatih baharu Barcelona selepas mencapai persetujuan umtuk menamatkan kontrak Valverde kelmarin. — Gambar AFP

MADRID, Sepanyol: Juara bertahan La Liga Sepanyol, Barcelona, memecat jurulatihnya Ernesto Valverde dan melantik Quique Setien sebagai pengganti, menurut pengumuman kelab Isnin lepas.

Keputusan untuk memecat Valverde disahkan ekoran satu pertemuan lembaga pengarah yang berlarutan lebih dari empat jam di Nou Camp pada petang hari yang sama.

Barca berada di tangga teratas liga tetapi hanya menang sekali dari lima perlawanan terakhir, menjadikan Valverde jurulatih pertama kelab yang dipecat pada pertengahan musim sejak Louis van Gaal pada 2003.

“FC Barcelona dan Ernesto Valverde sudah mencapai satu persetujuan untuk menamatkan kontrak yang menyatukan kedua-dua pihak,” kata satu kenyataan kelab yang dikeluarkan pada sebelah malam.

Setien akan diperkenalkan kepada media pada keesokan harinya.

“Barcelona dan Quique Setian sudah mencapai satu persetujuan untuk beliau menjadi ketua jurulatih sehingga 30 Jun 2022,” kata kelab.

“Setien adalah salah seorang jurulatih paling berpengalaman dalam bola sepak Sepanyol,” tambahnya. “Sepanjang kariernya, beliau memiliki asas permainan menyerang yang menarik perhatian peminat bola sepak.”

Perlawanan pertama Setien ialah perlawanan menentang Granada di tempat sendiri Ahad ini.

Barcelona akan menentang Napoli pada perlawanan pusingan kedua Liga Juara-Juara dan akan menentang Real Madrid pada perlawanan ‘El Clasico’ pada awal bulan Mac.

Setien tidak merahsiakan rasa kagum dengan corak permainan tradisi Barca, dengan jurulatih berusia 61 tahun itu dikenali menyukai permainan menyerang yang menarik.

Bekas pemain kelab Atletico Madrid dan Racing Santander itu, yang dibayangkan sebagai berpotensi menjadi jurulatih Barca semasa tempoh cemerlang membimbing Real Betis.

Beliau membimbing Betis ke tangga keenam liga pad 2018 dan layak untuk penampilan sulung pada kejohanan Liga Europa tetapi walaupun membimbing kelab mencipta kemenangan 4-2 di Nou Camp pada awal musim, keputusan seterusnya tidak memberangsangkan.

Betis menamatkan musim di tangga ke-10 dan kedua-dua pihak menamatkan kerjasama pada musim panas lepas. Sebelum ini, beliau juga pernah membantu Las Palmas mengelak penyingkiran dari La Liga pada 2016.

Peminat tegar bola sepak sebenar, Setien dan Barcelona sememangnya serasi, terutama sekali jika pemain mahu mempunyai lebih kebebasan berbanding corak permainan Valverde.

Tetapi pengkritik Setien mempertikaikan corak permainan beliau dengan pemain yang ada dan ia masih perlu dilihat bagaimana beliau menangani tekanan menyamai kehendak tinggi di salah sebuah kelab yang paling mendesak keputusan di dunia.

Beliau juga tanpa Luis Suarez, yang tidak akan dapat beraksi sehingga empat bulan selepas menjalani pembedahan di bahagian lutut kanan.

Keraguan menyelubungi Valverde sejak beberapa bulan dan diburukkan lagi apabila tersingkir awal dari Liga Juara-Juara pada dua musim terakhir.

Kekalahan mengejutkan Barcelona kepada AS Roma pada 2018, disusuli dengan kekalahan kepada Liverpool musim lepas.

Kerapuhan yang sama kelihatan musim ini dan kekalahan 2-3 kepada Atletico Madrid pada perlawanan separuh akhir Piala Super Sepanyol minggu lepas, di mana Barca bolos dua gol lewat, menyebabkan lembaga pengarah terpaksa bertindak.

Valverde tiba dua jam lebih awal untuk sesi latihan terakhir beliau di pusat latihan Ciutat Esportiva Joan Gamper pada pagi Isnin sebelum bertemu dengan presiden kelab, Josep Maria Bartomeu.

Bartomeu kemudian ke Nou Camp di mana beliau mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai kelab termasuk ketua pegawai eksekutif, Oscar Grau, setiausaha teknikal, Javier Bordas, naib presiden, Jordi Cardoner dan pengarah bola sepak, Eric Abidal.

Grau dan Abidal kembali ke Barcelona Ahad lalu selepas menghabiskan hujung minggu di Qatar, di mana mereka ada menawarkan jawatan kepada Xavi tetapi bekas bintang legenda kelab itu menjelaskan beliau tidak bersedia untuk datang dalam masa terdekat.

Sepanjang dua musim Valverde membimbing kelab, beliau memenangi dua kejuaraan La Liga dan juga Copa del Rey pada 2018 dan satu lagi kejuaraan liga masih di landasan musim ini walaupun prestasi memberangsangkan Real Madrid sejak beberapa minggu yang lalu.

Tetapi prestasi Barca tidak memberangsangkan dan ada kebimbangan tentang taktik Valverde, yang kelihatan  menyebabkan kelab beralih kepada Setien.

Apabila Valverde tiba di Barca pada 2017, Barca berada dalam masalah dengan perpindahan mengejut Neymar ke Paris Saint Germain dan dua kekalahan memalukan kepada Real Madrid dalam Piala Super Sepanyol membayangkan masalah pada musim itu.

Sebaliknya, beliau berjaya memulihkan nasib pasukan.

Mereka hanya tewas satu perlawanan liga ketika muncul juara dan pada tahun selepasnya, mereka muncul juara lagi dengan berkelebihan 11 mata di hadapan Atletico di tangga kedua dan 19 mata di hadapan Real Madrid.

Namun pencapaian memberangsangkan Valverde itu menjadi samar dan kekalahan demi kekalahan menyelubungi keyakinan pengurusan kelab yang akhirnya mencapai keputusan memecatnya Isnin lepas. — AFP

Advertisement