Anda di sini

29 mayat digali keluar dari kubur rahsia di Mexico

Advertisement
 Kenderaan Institut Forensik Jalisco dilihat di kawasan di mana sebuah kubur                      beramai-ramai ditemui di kawasan kejiranan El Mirador di Tlajomulco de Zuniga, Negeri Jalisco, Mexico kelmarin. — Gambar AFP
SIASAT: Kenderaan Institut Forensik Jalisco dilihat di kawasan di mana sebuah kubur beramai-ramai ditemui di kawasan kejiranan El Mirador di Tlajomulco de Zuniga, Negeri Jalisco, Mexico kelmarin. — Gambar AFP

GUADALAJARA: Mayat sekurang-kurangnya 29 orang telah digali keluar dari sebuah kubur beramai-ramai di sebuah kawasan tanah luar bandar Guadalajara di barat Mexico, kata pihak berkuasa tempatan kelmarin.

Kawasan ngeri itu ditemui di Jalisco – sebuah negeri dilanda dengan teruk oleh keganasan berkaitan dengan jenayah terancang, dan juga kawasan yang sama di mana pihak berkuasa telah me-nemui sebanyak 80 mayat sejak November.

Pejabat pendakwa raya tempatan menyatakan bahawa empat daripada mayat itu telah dikenal pasti dan dipadankan dengan siasatan orang hilang yang terbuka.

Pihak berkuasa akan terus memeriksa kubur itu, yang sebesar kira-kira 80 kaki dan 155 kaki.

Kubur itu terletak kira-kira 260 kaki jauhnya dari kubur beramai-ramai yang lain, di mana mayat sekurang-kurangnya  50 orang telah ditemui pada Disember.

Pada November, 31 mayat turut ditemui berhampiran.

Tiga kubur telah dikesan selepas pihak Pengawal Negara merampas kawalan ke atas sebuah gudang di perbandaran berhampiran Tlaquepaque pada November, di mana mereka menyelamatkan lapan orang yang diculik, merampas senjata dan menahan 15 suspek.

Sebelum itu, sebuah kubur beramai-ramai dengan 34 mayat telah ditemui di subbandar Guadalajara pada 3  September, sementara yang lain ditemui berhampiran pada Mei dengan mayat 30 orang.

Hampir 2,500 pembunuhan telah dilaporkan di antara Januari dan November di Jalisco – di mana kartel Jalisco Nueva Generacion yang berkuasa telah bertapak. — AFP

Advertisement