Anda di sini

UiTM sedia jalin lebih banyak kerjasama pendidikan, pelengkap usaha kerajaan negeri

Masing (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Jamil (dua kiri) bersama wakil GCC selepas majlis menandatangani diadakan, hari ini. Turut kelihatan Manyin (tiga kiri) - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi.
Masing (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Jamil (dua kiri) bersama wakil GCC selepas majlis menandatangani diadakan, hari ini. Turut kelihatan Manyin (tiga kiri) - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak komited untuk terus menyokong perancangan kerajaan negeri dalam membangunkan ekonomi negeri ini.

Rektor UiTM Kampus Sarawak, Profesor Datuk Dr Jamil Hamali berkata, ia selaras dengan matlamat kerajaan negeri yang mahu memanfaatkan semua peluang untuk membawa impak lebih besar kepada masyarakat baik dari segi ekonomi dan sosial.

"Universiti kami sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan negeri dalam perancangannya.

"Kami ingin mempunyai lebih banyak kerjasama pendidikan dalam masa terdekat, selaras dengan inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road) yang diterima oleh kerajaan negeri," katanya berucap sempena majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Jalur dan Laluan Pertama 2020 disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di UiTM Sarawak di sini, hari ini.

Jamil berkata, sehingga kini UiTM telah menjalin pelbagai projek kerjasama dengan rakan-rakan sejawat universiti di China.

Katanya secara keseluruhan, UiTM telah memeterai 10 Memorandum Persefahaman (MoU) dengan universiti di China dan daripada 10 itu, lima ditandatangani oleh UiTM Sarawak pada September 2019.

"MoU berkenaan termasuk dengan Universiti Farmaseutikal China, Universiti Jiangsu, Universiti Anhui, Universiti Perubatan Anhui dan Universiti Wuzi Beijing.

"Kumpulan pertama daripada sembilan pensyarah dari China telah datang pada Oktober 2019 hasil daripada MoU yang diadakan. Berdasarkan maklum balas positif daripada kedua-dua pelajar dan staf, kami tahu, kami melakukan perkara yang sewajarnya," katanya.

Sementara itu kata beliau, pada hari ini, universiti sekali lagi memeterai MoU iaitu bersama Sarawak Enegery Berhad dan Global China Centre (GCC) Cultural Services Sdn Bhd.

Berhubung persidangan yang diadakan, Jamil memberitahu ia anjuran bersama UiTM bersama Persatuan ACEC dan Universiti Wuzi Beijing.

"Kami menyedari bahawa di Asia, pembangunan China sangat cemerlang dalam pelbagai aspek dan China mempunyai kapasiti untuk membantu negara Asian lain untuk berkembang maju termasuk negara kita," tegasnya.

Sehubungan itu, persidangan berkenaan diadakan bagi menyediakan ruang kepada ahli perniagaan, para akademik, pentadbiran, pembuat dasar dan pihak berkepentingan daripada institusi kerajaan dan pelajar dari institusi pengajian tinggi, ujarnya.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad, Datu Sharbini Suhaili.