Anda di sini

Tujuh dicekup leka bermain 'holo' di Siburan

Advertisement
 

KUCHING: Tujuh sekawan dicekup polis ketika leka bermain judi 'holo' di rumah di Kampung Tijirak, Siburan dekat sini sekitar jam 11.40 malam pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat berhubung kegiatan perjudian tersebut.

Menurutnya, tujuh suspek yang ditahan berusia lingkungan 38 hingga 60 tahun.

"Setiba di lokasi kejadian, didapati kesemua tujuh suspek terbabit sedang leka bermain 'holo' dan mereka seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya turut dirampas ialah peralatan perjudian seperti kain yang tertera gambar seperti  ikan, udang, ayam, ketam dan harimau.

"Turut dirampas juga tiga biji dadu yang tertera gambar sama pada kain tersebut dan wang tunai RM170," jelasnya.

Kesemua suspek kemudian ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan akan ditahan reman di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

  • oleh
  • Advertisement