Anda di sini

Terokai ilmu data raya dan data analitis untuk majukan Sarawak - Abang Johari

Advertisement
 Abang Johari memotong kek sambil disaksikan tetamu kenamaan lain sempena ulang tahun ketiganya sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di Miri, malam Isnin.
Abang Johari memotong kek sambil disaksikan tetamu kenamaan lain sempena ulang tahun ketiganya sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di Miri, malam Isnin.

MIRI: Anak-anak Islam di Sarawak perlu mempelajari dan meneroka ilmu baharu yang sesuai dengan perkembangan ekonomi digital yang akan dijadikan asas untuk memajukan Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ilmu baharu akan memberi maklumat terkini yang boleh digunakan untuk membangunkan Sarawak dalam tempoh 10 tahun ini.

"Jurusan baharu seperti big data (data raya) dan data analitis dapat memberi kita maklumat yang terkini dan maklumat ini pula akan menjadi asas membangunkan ekonomi kita," katanya Majlis Perasmian Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di sini, malam Isnin.

Abang Johari berkata jika umat Islam ingin maju, maka mereka mesti mempunyai ilmu-ilmu baharu seperti yang pernah diterokai para ilmuan Islam seperti Ibnu Khaldun.

"Dalam konteks negeri Sarawak, sebab itu saya anjurkan ekonomi digital yang berteraskan kepada ilmu matematik dan ilmu logaritma dan anak-anak Islam perlu mendalami ilmu begini," jelasnya.
 
Abang Johari menambah selain meningkatkan syiar Islam, Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak mencetus motivasi dan kesedaran umum tentang pembudayaan cintakan al-Quran dengan membaca, mengajar, belajar, menghayati, beramal dan membuat kajian daripadaanya di dalam masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa. 

"Semarakkanlah budaya ini dan saya yakin kefahaman kita tentang Islam sebagai Ad-Din akan lebih membimbing kita ke jalan betul dan benar," jelasnya.

Pembudayaan al-Quran di dalam hidup berkeluarga juga akan dapat mengukuhkan jati diri dan menyemai keyakinan dalam kalangan generasi kini dalam menghadapi pelbagai cabaran dan tidak mudah terjebak dengan gejala sosial yang akhirnya akan merosakkan akhlak dan akidah.

Kerajan negeri menurutnya akan terus memberikan kerjasama, sokongan dan komitmen kepada Majlis Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak untuk memperkasa aspek modal insan generasi al-Quran. 

"Mudah-mudahan segala usaha serta komitmen yang kita laksanakan dalam mengimarahkan dan menghayati tuntutan al-Quran akan diberkati oleh Allah SWT.

"Sama-samalah kita terjemahkan ajaran al-Quran dalam segala tindakan bagi memacu kejayaan dan kegemilangan umat Islam bagi menyumbang kepada kemajuan ummah serta kejayaan negara pada keseluruhannya," jelasnya.

Hadir sama, Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip, Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha serta menteri-menteri muda.

  • oleh
  • Advertisement