Anda di sini

Sukar muktamad 25 pemain terbaik

Advertisement
 Tiga puluh pemain yang terpilih meneruskan fasa latihan dan pemilihan skuad bawah 21 tahun Tambadau Sabah bersama barisan jurulatih diketuai Justin (bertopi) dan pegawai pasukan.
TERPILIH: Tiga puluh pemain yang terpilih meneruskan fasa latihan dan pemilihan skuad bawah 21 tahun Tambadau Sabah bersama barisan jurulatih diketuai Justin (bertopi) dan pegawai pasukan.

Panel pemilih perlu tambahan masa pilih pemain B21 Tabadau

KOTA KINABALU: Panel pemilih perlukan tambahan masa untuk memuktamadkan senarai akhir 25 pemain bawah 21 tahun skuad Tambadau Sabah bagi menghadapi saingan Piala Presiden musim ini.

Ketua jurulatih, Justin Ganai berkata, mereka hanya dapat senarai pendek jumlah kepada 30 pemain daripada lebih 60 yang hadir pada pemilihan di sini, 10-12 Januari lalu.

Ia sepatutnya pemilihan fasa akhir tetapi panel pemilih tidak dapat memutuskan senarai akhir 25 pemain kerana kualiti seimbang yang dipamerkan pemain.

"Persaingan yang amat sengit...semua pemain yang dipanggil menghadiri ujian pemilihan akhir skuad bawah 21 tahun menunjukkan prestasi dan kualiti permainan yang baik, membuatkan kami sukar untuk membuat pilihan.

"Sejak mengendalikan ujian pemilihan seperti ini bertahun-tahun lamanya, kali ini merupakan yang paling sukar kerana kesemua pemain menunjukkan prestasi yang baik. Walau bagaimana pun, kami telah membuat perbincangan dan memilih pemain terbaik  mengikut posisi masing-masing," katanya.

Justin berkata, latihan dan pemilihan membabitkan 30 pemain itu akan diteruskan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK) bermula Rabu.

"Senarai akhir 25 pemain yang akan didaftarkan bagi membawa cabaran skuad bawah 21 tahun Tambadau Sabah dalam saingan Piala Presiden musim ini akan diputuskan dalam tempoh dua minggu," katanya.

Menurutnya, jadual latihan skuad lengkap sepatutnya bermula Isnin lalu tetapi terpaksa ditangguhkan ke Rabu kerana ada beberapa pemain terpilih balik kampung mengambil kelengkapan berlatih.

"Kepada yang tidak terpilih saya doakan mereka maju jaya dalam apa juga lapangan kerjaya pada masa akan datang," kata Justin.

Justin akan dibantu Billy Vun Kit Ming serta Dante S Tipay selaku jurulatih penjaga gol membawa cabaran pelapis skuad senior berkenaan musim ini.

  • oleh
  • Advertisement