Anda di sini

SMK Tudan akan beroperasi selepas Sijil Siap dan Pematuhan diterima

 Teo merakam kenangan bersama yang lain selepas lawatan kerja ke tapak projek SMK Tudan, hari ini.
UNTUK ALBUM: Teo merakam kenangan bersama yang lain selepas lawatan kerja ke tapak projek SMK Tudan, hari ini.

MIRI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tudan di sini akan beroperasi setelah menerima Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jelas Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia Teo Nie Ching.

Teo yang mengadakan lawatan kerja ke SMK Tudan terbabit hari ini memberitahu, sijil itu penting bagi memastikan bangunan sekolah tersebut selamat digunakan dan mematuhi kesemua syarat yang ditetapkan daripada PBT.

“Sehingga 3 Januari, status siap projek sekolah ini adalah 92.8 peratus dan lawatan saya pada petang ini bersama pihak kontraktor yang dipertanggungjawabkan bagi melihat progres projek dan untuk memastikan bila permohonan CCC boleh dibuat.

“CCC perlu dipohon daripada PBT dan kemudiannya PBT akan membuat pemeriksaan atau semakan bersama agensi yang terlibat seperti bomba, SESCO dan pihak yang berkaitan untuk memastikan keselamatan dipatuhi dan memenuhi syarat-syarat tertentu. 

“Selepas itu barulah CCC diberikan kepada sekolah setelah kesemuanya dipatuhi,” ujarnya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke SMK Tudan di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut Dr Ting Tiong Choon, Pegawai Pendidikan Daerah Miri Shirini Mastura, Kontraktor Utama dari Kurnia Matang Sdn Bhd Wan Saadi Wan Junaidi serta wakil-wakil yang lain.

Menurutnya, beliau berharap permohonan CCC dapat dibuat pada Mac nanti bagi membolehkan sekolah dapat beroperasi secepat mungkin setelah beberapa kali mengalami kelewatan.

“Projek SMK Tudan bernilai RM48 juta mula dilaksanakan pada 2 Mac 2016 dan sepatutnya siap pada 18 Julai 2018, bagaimanapun berikutan dengan kelewatan ia ditangguhkan kepada 2 September 2019. 

“Tetapi sehingga kini belum lagi siap kerana masih ada kelewatan. Diharapkan projek ini dapat siap secepat mungkin mengikut jadual terkini yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Wan Saadi menjelaskan punca kelewatan adalah disebabkan kerja-kerja pertambahan jalan keluar, pelebaran jalan termasuk kerja-kerja pengurusan.

Bagaimanapun ujarnya, tiada kos tambahan diperlukan untuk projek terbabit.

Setelah siap, SMK Tudan akan mempunyai 36 bilik darjah dan lain-lain kemudahan seperti blok makmal, bengkel, pembinaan kantin, surau, dan sebagainya.