Anda di sini

Seorang maut, tiga parah dalam nahas di Sebangan-Sebuyau

Advertisement
 

KUCHING: Seorang maut, manakala tiga lagi parah termasuk isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz dalam kemalangan di Jalan Sebangan-Sebuyau, Simunjan, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata semasa kejadian keempat-empat masa dalam perjalanan dari arah Kuching menuju ke Kabong, Saratok.

Menurutnya, kereta jenis pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan sekitar jam 12 tengah hari.

"Dipercayai mereka cuba memintas dua buah kenderaan lain namun tidak berjaya dan tidak sempat masuk semula ke laluan asal lalu bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan.

"Impak kemalangan tersebut menyebabkan seorang wanita berusia 64 tahun dikenali sebagai Poziah Udin iaitu penumpang di belakang (kiri) meninggal dunia akibat kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, isteri Abdul Wahab iaitu Datin Fatimah Zainudin, 70 tahun yang merupakan penumpang hadapan dilaporkan mengalami retak tulang kaki kanan. 

"Sementara pemandu yang berusia 23 tahun mengalami patah tangan kiri dan seorang lagi wanita berusia 68 tahun mengalami patah kaki kanan dan tangan kanan.

"Mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Simunjan, Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Pusat Jantung HUS di Kota Samarahan untuk mendapatkan rawatan kecemasan," jelasnya.

Manakala mayat mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Simunjan untuk tindakan selanjutnya.

Selain itu, Alexson turut memberitahu siasatan telah dijalankan di lokasi kejadian termasuk mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi kejadian.

"Didapati kejadian berlaku di kawasan garisan berkembar dan berhampiran dengan selekoh tajam menghala ke Sebuyau.

"Permukaan jalan juga tidak rata serta beralun," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • oleh
  • Advertisement