Anda di sini

Polis buka enam kertas siasatan sepanjang tempoh kempen PRK Kimanis

Advertisement
OMAR MAMMAH
OMAR MAMMAH

PENAMPANG: Polis membuka enam kertas siasatan sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil (PRK) Kimanis sehingga kini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya menerima keseluruhan 11 laporan polis membabitkan beberapa isu dan enam kertas siasatan sudah dibuka setakat ini.

"Pecahan laporan polis itu termasuklah lima di kawasan Papar dan enam lagi di kawasan Membakut masing-masing merangkumi Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan beberapa kesalahan lain.

"Polis juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 10 (sogokan), Seksyen 4A (1) mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan), dan dua lagi mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah iaitu menyebarkan perkara tidak benar serta mendatangkan keaiban kepada seseorang.

"Kita juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya.

Dalam pada itu Omar berkata pihaknya menerima serta meluluskan sejumlah 181 permit untuk mengadakan ceramah masing-masing 103 di Beaufort dan 78 di Papar.

Sementara itu katanya pihaknya juga akan menugaskan anggota polis yang mencukupi untuk memantau perhimpunan aman yang dikendalikan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) hari ini.

"Penugasan anggota polis ini bagi menjaga keamanan serta keselamatan di kawasan sekitar selain bagi mengelakkan timbulnya perbuatan yang menganggu gugat keadaan persekitaran terbabit.

"Penugasan ini akan ditambah jika sekiranya berlaku tindakan agresif daripada pihak penganjur berikutan kita mengutamakan keselamatan orang awam serta penduduk yang berada di sekitar kawasan berkenaan," katanya.

Beliau juga menasihatkan pihak penganjur serta peserta perhimpunan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan jangan sesekali menimbulkan provokasi yang boleh menyebabkan perpecahan kaum dan sekiranya berlaku kekecohan pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan drastik secara terus.

  • oleh
  • Advertisement