Anda di sini

Pendidikan: Persekutuan mahu terus bekerjasama dengan Sarawak

Advertisement
 Teo memperjelaskan sesuatu kepada para peserta dialog berkenaan.
PERJELAS: Teo memperjelaskan sesuatu kepada para peserta dialog berkenaan.

MIRI: Kementerian Pendidikan di peringkat persekutuan perlu terus bekerjasama dengan rakan sejawatannya dari Sarawak, walaupun dasar pendidikan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Timbalan menterinya, Teo Nie Ching bersetuju walaupun pendidikan adalah di bawah bidang kuasa persekutuan tetapi pada masa yang sama, ada keperluan untuk kementeriannya bekerjasama erat dengan kerajaan negeri khususnya Sabah dan Sarawak.

"Kementerian saya akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri terutamanya Sabah dan Sarawak dengan melakukan beberapa kerja perancangan dari segi sekolah daif, sekolah dengan kurang murid dan banyak lagi.

"Kita perlu mengadakan perbincangan bersama mengenai perkara ini dengan kerajaan negeri kerana kerajaan negeri lebih memahami isu-isu tempatan," katanya kepada media selepas mempengerusikan sesi dialog dengan Persekutuan Lembaga Sekolah Rendah Aliran Cina bahagian Miri dan Limbang di sebuah hotel di sini, hari ini.

Selain itu, Teo memberitahu, terdapat juga cadangan untuk menggabungkan sekolah-sekolah berdekatan yang kurang murid di sesebuah kawasan.

Mengulas lanjut beliau berkata kementeriannya harus bekerjasama dengan kerajaan negeri kerana kerajaan negeri tahu mana sekolah-sekolah yang mempunyai jumlah murid yang amat kurang, serta sesuai untuk digabungkan bersama.

"Ini kerana perkara berkaitan pendidikan seperti buku teks, sukatan pelajaran, peruntukan guru, latihan dan banyak lagi banyak lagi, adalah di bawah persekutuan.

"Tetapi dalam aspek pembangunan lain seperti bangunan, kita masih perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri," tambahnya. 

Sementara itu, pada sidang dialog tersebut, beliau berkata beberapa isu telah dibawa oleh lembaga sekolah seperti peruntukan, pelajar tidak bertauliah, disiplin pelajar, sekolah yang kurang murid dan sebagainya.

Beliau menambah kementeriannya akan meneliti perkara yang dibangkitkan satu persatu, sebelum ia diserah sama ada kepada pegawai pendidikan daerah, negeri ataupun persekutuan untuk perhatian dan tindakan segera.

Seramai 50 wakil daripada pelbagai lembaga pengurusan sekolah-sekolah aliran Cina dari sekitar Miri dan Limbang yang telah menghadiri sesi dialog tersebut. 

Turut hadir ialah Senator Alan Ling, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon dan pengerusi Persekutuan Lembaga Sekolah Rendah Aliran Cina Bahagian Miri dan Limbang, Penghulu Haw Min Wai.


 

  • oleh
  • Advertisement