Anda di sini

Nahas pesawat Ukraine tragedi bagi Kanada

 Orang yang menghadiri pengebumian meletakkan bunga berdekatan gambar mangsa-mangsa di hadapan pentas sebelum upacara berdoa untuk 57 mangsa rakyat Kanada dalam nahas pesawat Ukraine di Iran. — Gambar AFP
TERUS DIINGATI: Orang yang menghadiri pengebumian meletakkan bunga berdekatan gambar mangsa-mangsa di hadapan pentas sebelum upacara berdoa untuk 57 mangsa rakyat Kanada dalam nahas pesawat Ukraine di Iran. — Gambar AFP

TORONTO: Ribuan orang menghadiri upacara berdoa kelmarin di Kanada untuk 57 mangsa rakyat Kanada dalam nahas pesawat Ukraine di Iran, kebanyakan mereka berasal dari komuniti Iran.

Perdana Menteri Justin Trudeau memberitahu pada satu upacara penghormatan di Edmonton bahawa  “tragedi ini telah melibatkan komuniti Iran-Kanada kami, mengakibatkan bandar-bandar seperti Edmonton goyah, namun ini adalah sememangnya satu tragedi bagi rakyat Kanada.”

“Kami ingin memastikan semua keluarga dan semua rakyat Kanada bahawa kami tidak akan berdiam diri sehingga mendapat jawapan,” jelas beliau. “Kami tidak akan berehat sehingga terdapat keadilan dan akauntabiliti.”

Enam pelajar universiti telah terkorban ketika pesawat Ukraine International Airlines terhempas pada 8 Januari, sejurus selepas berlepas dari lapangan terbang Tehran.

Kesemua 176 orang di dalam pesawat telah terkorban, 57 orang daripada mereka adalah rakyat Kanada, ramai daripada mereka mempunyai dua kerakyatan Iran.

Iran sejak itu mengakui pesawat itu tersilap ditembak jatuh oleh misil Iran.

Pada satu majlis di Universiti Toronto, ramai daripada mereka yang rapat dengan mangsa telah menyuarakan rasa sedih dan marah mereka.

“Ia adalah satu kisah yang bergema dengan rakyat, pendatang ini dengan begitu banyak harapan dan impian. Mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh, mereka merupakan orang yang mempunyai pencapaian yang tinggi dan mereka datang ke sini hanya untuk ditembak jatuh ketika berada di ruang udara,” menurut Ali Esnaashani.

“Saya berasa marah, saya berasa sedih,” lelaki berusia 30 tahun itu memberitahu AFP. “Namun saya turut merasakan teruja melihat komuniti yang bersatu seperti ini.”

Di atas pentas, Mehrdad Ariannejad, ketua bagi badan bukan perniagaan dialog kebudayaan Kanada-Iran, Tirgan, mula sebak semasa berucap.

“Rasa terkejut telah membawa kepada kesedihan dan kemarahan yang semakin bertambah,” kata beliau.

“Kita harus menuntut keadilan daripada pihak berkuasa Republik Islam dan menuntut jawapan serta pampasan bagi kecuaian dan sikap kurang menghargai nyawa manusia yang membawa kepada tragedi ini.”

Kanada  merupakan kediaman bagi satu diaspora utama Iran. Pada 2016, 210,000 rakyat Kanada telah mengaku sebagai berasal dari Iran, menurut jumlah rasmi.

Separuh daripada mereka tinggal di Toronto, yang mempunyai salah satu daripada komuniti Iran paling ketara di Amerika Utara selepas Los Angeles.

Hola, 50, yang mengenali salah seorang daripada mangsa, tidak dapat menahan tangisannya. “Saya berasa gembira kerana kerajaan Kanada telah berjanji untuk mengikuti sepenuhnya dan mendapatkan keadilan bagi mereka ini, untuk keluarga dan orang yang tersayang,” jelas beliau.

“Tiada apa yang akan pernah menggantikan nyawa ini yang telah dirampas,” kata Timbalan Perdana Menteri Chrystia Freeland di Toronto. “Kami akan selamanya menanggung kesan ini.” — AFP