Anda di sini

Minuman keras bernilai RM144,151 dirampas

Advertisement
 Omar menunjukkan sebahagian rampasan minuman keras semasa sidang media di IPD Penampang.
RAMPAS: Omar menunjukkan sebahagian rampasan minuman keras semasa sidang media di IPD Penampang.

Disyaki diseludup dari luar untuk pasaran tempatan

PENAMPANG: Polis berjaya merampas sejumlah 1,114 karton minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM144,151 dalam satu serbuan di tanah lapang Jalan Lembaga Air kasigui berhadapan Taman Desa Manis di sini baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, serbuan kira-kira jam 12 tengah hari pada 11 Januari lalu itu dipercayai dilakukan terhadap bekalan minuman keras yang disyaki diseludup dari luar untuk pasaran tempatan.

"Hasil semakan awal terhadap bekalan minuman keras itu dipercayai tidak mempunyai cukai kastam dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM92,640 dan ianya bernilai RM144,151 selepas dikenakan cukai.

"Semasa serbuan dijalankan polis turut menahan dua lelaki tempatan masing-masing berumur 20 dan 36 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori dan kelindan lori yang sedang memindahkan bekalan minuman keras ke dalam lori," katanya.

Menurutnya kesemua minuman keras inin dipercayai untuk dipasarkan sekitar sini dan Kota Kinabalu berikutan musim perayaan Tahun Baharu Cina menjelang tiba dan sindiket dipercayai mengambil kesempatan menyeludup minuman keras ini sepanjang tempoh perayaan bagi mengaut keuntungan.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 bagi mengenalpasti sindiket lain yang terlibat dalam penyeludupan ini.

 Omar semasa mengadakan sidang media di IPD Penampang.
SIDANG MEDIA: Omar semasa mengadakan sidang media di IPD Penampang.

"Kes masih dalam siasatan lanjut bagi tujuan mendapatkan pengesahan klasifikasi dan nilai cukai taksiran sebenar daripada Jabatan Kastam dan pengesahan pengkelasan barang rampasan daripada Jabatan Kimia Malaysia," katanya.

Sementara itu pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berjaya menyelesaikan 49.20 peratus jenayah indeks sepanjang tahun 2019 dengan rekod jenayah sebanyak 563 berbanding 603 pada 2018.

Beliau berkata bekalan dadah juga dapat dikurangkan sebanyak tiga peratus dan kategori memiliki bertambah kepada 250 tangkapan berbanding 240 pada tahun sebelumnya.

"Ops Sarang juga berjaya dijalankan sebanyak 98 kali sepanjang tahun lalu iaitu membabitkan 205 kes dan 209 jumlah keseluruhan tangkapan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement