Anda di sini

Mahkamah batal saman ahli perniagaan terhadap Najib

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam membatalkan tuntutan saman difailkan ahli perniagaan, J.R Deepak Jaikishan dan adiknya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan empat yang lain berhubung dakwaan wujud konspirasi hingga menyebabkan dua beradik itu serta syarikat mereka, Radiant Splendour Sdn Bhd mengalami kerugian.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najib dan empat defendan lain iaitu Datin Seri Rosmah Mansor, peguam Datuk Ahmad Johari Abdul Razak, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (ketika itu Pengerusi Tabung Haji) dan Tan Sri Shukry Mohd Salleh (ketika itu Pengerusi Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad) bagi membatalkan saman yang difailkan terhadap mereka pada September 2018.

Peguam David Mathews, yang mewakili Najib dan Rosmah berkata mahkamah membenarkan permohonan kesemua defendan untuk membatalkan saman itu atas alasan tuntutan saman difailkan ketiga-tiga plaintif iaitu Deepak Jaikishan, 48, pengarah syarikat Radiant Splendour, J. Rajesh, 47, serta syarikat berkenaan dengan jelas tidak boleh dikekalkan.

“Mahkamah turut memerintahkan kesemua plaintif membayar kos RM10,000 kepada setiap defendan,” kata peguam itu kepada pemberita selepas selesai prosiding di dalam kamar Hakim Azimah, semalam.

Ketiga-tiga plaintif diwakili peguam Nasbal Harun manakala Ahmad Johari diwakili peguam Dhinesh Bhasuaran, Abdul Azeez diwakili peguam Prem Ramachandran dan peguam Ng Ying Ci bertindak bagi pihak Shukry.

Kelima-lima defendan itu memfailkan permohonan untuk membatalkan saman atas alasan tuntutan saman kesemua plaintif tidak lengkap, tidak jelas serta tidak dapat dibuktikan.

Dalam penyataan tuntutan yang difailkan pada 12 September 2018, kesemua plaintif mendakwa Najib bertindak di luar batasan serta menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan Bank Kerjasama Rakyat Berhad memfailkan pelbagai tindakan guaman terhadap mereka terutama kepada plaintif kedua iaitu Deepak.

Deepak mendakwa ia bagi menghalangnya daripada memberi keterangan lisan secara jujur ketika perbicaraan kes sivil berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu membabitkan Najib, Rosmah dan Ahmad Johari.

Plaintif juga mendakwa terdapat perjanjian bertarikh 24 Julai 2008 dengan Bank Kerjasama Rakyat Berhad atas arahan Shukry, yang bersetuju memberikan dan menyediakan kemudahan pembiayaan wang sehingga RM198,888,750 dan sebagai balasan mereka perlu menyerahkan hak mutlak dan kepentingan terhadap 80 unit pangsapuri dalam pembangunan iaitu Kondominium Palazzio Tower B.

Dakwa plaintif kesemua defendan telah melakukan tort konspirasi, penipuan, penyalahgunaan proses dan/atau perlakuan yang tidak mengikut undang-undang dalam mencapai perjanjian penyelesaian tersebut.

Plaintif juga mendakwa semua defendan berkonspirasi dalam menyebabkan kerugian terhadap mereka, dan memohon setiap defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM10 juta, ganti rugi teladan RM2.6 juta dan ganti rugi berpanjangan. — Bernama