Anda di sini

Lapan pengundi awal laksana tanggungjawab untuk PRK Kimanis

Advertisement
 Awang Taba (kiri), Koperal Iswandy Ladi (tengah) dan Koperal Redond Sadong (kanan) menunjukkan jari selepas mengundi untuk PRK Parlimen Kimanis.
UNDI AWAL: Awang Taba (kiri), Koperal Iswandy Ladi (tengah) dan Koperal Redond Sadong (kanan) menunjukkan jari selepas mengundi untuk PRK Parlimen Kimanis.

MEMBAKUT: Seramai lapan daripada sembilan pengundi awal yang tersenarai dalam Daftar Pemilih menjalankan tanggungjawab mengundi awal untuk pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis hari ini.

Pengundi pertama pesara polis Awang Taba Awang Tengah, 64, tiba seawal jam 8.10 pagi di pusat pengundian awal Balai Polis Membakut di sini.

Pengundi terakhir yang juga anggota polis wanita Dayang Kalas Gapa @ Abdulah, 58, menjalankan tanggungjawab mengundi kira-kira jam 9.18 pagi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Mohamed Elias Abu Bakar turut hadir bagi meninjau keadaan proses pengundian awal di pusat berkenaan.

 

Katanya, sehingga kini keadaan kempen sepanjang PRK Kimanis berjalan lancar dan teratur.

"Sebanyak tujuh kes dilaporkan di Balai Polis Daerah Papar dan Beaufort berkaitan dengan sambutan Krismas dan juga laporan yang menidakkan laporan terdahulu.

"Pemantauan pihak penguatkuasa SPR setakat hari ini menerima tiga kes berkaitan pemasangan banting," katanya ketika ditemui media di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, sebanyak 181 permit dikeluarkan termasuk 112 permohonan daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Barisan Nasional (BN) memohon sebanyak 69 permit.

Katanya, sebanyak enam kertas siasatan dibuka mengandungi beberapa seksyen dalam Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

"Ia termasuklah Seksyen 10 (Sogokan) dan Seksyen 4A(1) (Mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan) yang boleh disabitkan hukuman tidak lebih lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, kesalahan fitnah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Suasana di perkarangan luar Balai Polis Membakut mula dipenuhi petugas media seawal jam 7.30 pagi bagi liputan laporan penuh proses pengundian awal PRK Parlimen Kimanis.

 ELIAS ketika ditemuramah media mengenai proses pengundian awal PRK Parlimen Kimanis.
SIDANG MEDIA: ELIAS ketika ditemuramah media mengenai proses pengundian awal PRK Parlimen Kimanis.
  • oleh
  • Advertisement