Anda di sini

Komputer, cakera padat bernilai RM158,000 dilupus

Advertisement
 Azhar melancarkan gimik Pelupusan Eksibit, Stor Eksibit Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Sandakan.
LUPUS: Azhar melancarkan gimik Pelupusan Eksibit, Stor Eksibit Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Sandakan.

SANDAKAN: Sejumlah RM 158,000 eksibit komputer dan VCD/DVD dilupuskan oleh Polis Sandakan di Tapak Pelupusan Eksibit, Stor Eksibit Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Azhar Mohd Hamin berkata, pelupusan itu dibuat berikutan arahan daripada pihak mahkamah, dimana kes yang telah selesai dan tertuduh telah pun dijatuhkan hukuman.

Beliau berkata sebanyak 637 komputer yang dirampas sejak tahun 2008 hingga 2014 melibatkan 37 kes rampasan judi disiasat dibawah Seksyen 4B Akta Rumah Judi Terbuka 1953 berjaya dilupuskan bernilai RM63,000.

“Manakala, VCD dan DVD sebanyak 19, 063 keping yang dirampas sejak tahun 2003 hingga 2018 disekitar daerah ini dan dibawah bidang kuasa Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Sandakan iaitu Beluran dan Kinabatangan dilupuskan bernilai RM95,000,” katanya.

Azhar berkata rampasan VCD dan DVD berkenaan melibatkan 31 kes serbuan yang disiasat dibawah Seksyen 18(4)(a) Penapisan Filem 2002 dan juga Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

"Siasatan kes ini telah selesai dimana pesalah bagi kes ini telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah Sandakan mengikut peruntukan akta yang itu dan mahkamah mengarahkan untuk eksibit-eksibit ini dilupuskan," katanya ketika sidang media selepas majlis pelupusan itu.

Azhar berkata IPD Sandakan komited dalam memastikan tindakan pelupusan barangan kes rampasan seumpama itu dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi mengelak lambakan barang kes di stor simpanan.

"IPD Sandakan membuat pelupusan barang kes ini mengikut prosedur dengan cara menjaga alam sekitar seperti menanam dan bukan membakar secara terbuka kerana kita mengelak pencemaran,” katanya.

Terdahulu pada majlis pelupusan itu disaksikan oleh Penolong Penguasa Kanan SPRM Sandakan Suhaimi Abdul Manaf, Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Sandakan DSP Che Rafizi Che Ramli serta pegawai kanan polis.

  • oleh
  • Advertisement