Anda di sini

Kes saman terhadap Petronas wajar dilihat dari konteks perjuangan hak negeri - Abdullah

Advertisement
 

KUCHING: Perbicaraan kes Kerajaan Negeri menyaman Petronas seharusnya menarik minat ramai warga Sarawak kerana secara langsung atau tidak, kedudukan keistimewaan dan hak negeri seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan tercabar.

Penolong Setiausaha Agung PBB Abdullah Saidol (gambar) yang berkata demikian menambah, sebab itu kehadiran orang ramai terutama penyokong GPS di mahkamah hari ini seharusnya jangan dilihat dari aspek sokongan politik sahaja, tetapi juga mewakili rakyat Sarawak dari berbilang kaum dan latar belakang.

"Mereka datang kerana menyedari, implikasi atau keputusan kes ini secara langsung atau sebaliknya akan menentukan samada kedudukan istimewa Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan mengikut Perlembagaan Persekutuan dihormati atau terjamin.

"Generasi masa depan akan berbicara tentang peristiwa hari ini untuk menilai kesungguhan serta perjuangan kita untuk mempertahankan hak dan kepentingan Sarawak," katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Kuching, hari ini.

Menurutnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) enggan membuang masa terlalu kerap berbicara tentang perkara lampau kerana yang lebih penting, tindakan mereka sekarang dan hari-hari seterusnya sebagai anak jati negeri yang cekal dan berani untuk mempertahankan maruah negeri.

"Dalam setiap jiwa anak negeri mesti ada semangat seperti pesanan Tok Nan agar menjaga Sarawak baik-baik serta seruan Abang Johari yang mahu kita semua sayangkan negeri," katanya.

Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli GPS memberi sokongan padu dengan hadir ke Mahkamah Kuching dalam kes Kerajaan Sarawak menyaman Petronas kerana gagal membayar cukai jualan produk petroleum.

Turut berada di mahkamah, Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing, Naib Presiden PRS Datuk Liwan Lagang, Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting, Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan, Ketua Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Agung PBB Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ketua Pemuda PDP Robert Ayu.

Semangat cinta dan sayang Sarawak juga diterjemahkan mereka daripada empat komponen parti dalam GPS - PBB, PRS, PDP dan SUPP - dengan laungan 'Sarawak First' dan 'Sayangku Sarawak'.

Advertisement