Anda di sini

Kes saman Petronas, hakim tetapkan 23 Januari untuk berundur atau sebaliknya

Advertisement
Talat ketika ditemu bual pemberita di lobi Mahkamah Kuching hari ini. - Gambar Roystein Emmor
Talat ketika ditemu bual pemberita di lobi Mahkamah Kuching hari ini. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Mahkamah Tinggi semalam menetapkan 23 Januari depan untuk memberikan keputusan mengenai permohonan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung pengunduran Pesuruhjaya Kehakiman, Christopher Chin Soo Yin daripada kes saman sivil kerajaan Sarawak dan Kontroler Cukai Jualan Negeri (SST).

Peguam Besar Negeri, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid berkata, Petronas menyuarakan kebimbangan mereka mengenai pengesahan Pesuruhjaya Kehakiman itu sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada masa akan datang. 

"Pelantikan beliau (Christopher) akan bergantung sepenuhnya kepada khidmat nasihat Perdana Menteri.

"Petronas berpendapat bahawa sekiranya beliau menyebelahi mereka dalam kes ini, maka dia akan mendapat pengesahan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi," ujar beliau kepada pemberita selepas prosiding di kamar hakim hari ini.

Ujar Talat juga, sekiranya perkara ini benar-benar terjadi kepada situasi Pesuruhjaya Kehakiman terbabit, ia juga harus terpakai kepada semua hakim lain.

"Hal ini harus diguna pakai kepada Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan kerana pengesahan mereka semua juga bergantung atas khidmat nasihat Perdana Menteri," jelas beliau. 

Kemas kini bermula di sini

Sementara itu, peguam yang mewakili Petronas, Datuk Malik Imtiaz Sarwar menjelaskan bahawa tujuan sebenar Petronas memohon pengunduran hakim tiada kaitan dengan pengesahannya sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Menurutnya juga, pihaknya tidak mempunyai masalah dengan beliau (Christopher) dari segi kecekapan dan integriti.

Sebaliknya, ia adalah kerana Pesuruhjaya Kehakiman tidak mempunyai status sebagai seorang hakim. 

“Pesuruhjaya Kehakiman perlu menjalani tempoh percubaan sebelum dilantik secara sah menjadi seorang hakim.

“Justeru, dalam kes ini, kami hanya mahu kes ini didengar oleh mereka yang sudah ditauliahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi,” ujarnya.

Katanya juga, hal ini adalah untuk mengelakkan daripada persepsi bermasalah yang akan timbul daripada orang ramai.

“Pihak kami juga tidak kisah sekiranya hakim yang dilantik merupakan orang Sarawak. Ia boleh terdiri daripada mana-mana hakim dari Mahkamah Tinggi Kuching. Hal ini supaya orang ramai tidak akan berkata yang bukan-bukan,” jelasnya.

Hari ini menyaksikan kes saman sivil kerajaan Sarawak dan Kontroler SST terhadap Petronas didengar di kamar hakim.

Pada 21 November tahun lalu, kerajaan negeri memfailkan saman terhadap Petronas susulan kegagalannya membayar Cukai Jualan Negeri (SST) bagi produk petroleum di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998. 

Petronas tidak membayar SST dan penalti lebih daripada RM1.3 bilion.

  • oleh
  • Advertisement