Anda di sini

Kes saman Petronas, 3-5 Februari tarikh perbicaraan bagi semakan semula kehakiman

Imtiaz ketika ditemui pemberita di lobi Mahkamah Kuching, hari ini. - Gambar oleh Roystein Emmor
Malik ketika ditemui pemberita di lobi Mahkamah Kuching, hari ini. - Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 3 hingga 5 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan bagi kes Petronas yang memohon semakan kehakiman untuk membatalkan Notis Penilaian membabitkan kira-kira RM1.3 bilion dalam Cukai Jualan Negeri (SST).

Hakim Azhahari Kamal Ramli juga menetapkan 27 Januari depan untuk penyerahan dokumen bagi kedua-dua belah pihak. 

Menurut seorang daripada peguam yang mewakili Petronas, Datuk Malik Imtiaz Sarwar, Kontroler SST tidak mempunyai bidang kuasa dan membuat kesilapan undang-undang dalam mengeluarkan notis cukai jualan kepada syarikat itu.

Jelasnya juga, mereka tidak mempunyai kuasa dalam ordinan cukai jualan, selain tidak boleh mengenakan cukai jualan terhadap produk petrolium.

“Pihak kerajaan menyatakan mereka boleh mengenakan cukai petroleum. 

“Namun, Petronas percaya bahawa undang-undang tidak membenarkan cukai tersebut dilaksanakan dengan merujuk kepada perlembagaan dan undang-undang lain yang relevan,” jelasnya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.

“Justeru, pihak kami mencabar Notis Penilaian itu dan sekiranya kami berada di pihak yang benar, notis itu akan dibatalkan dan tiada tuntutan akan dibuat terhadap Petronas,” katanya. 

“Itu merupakan keputusan yang akan ditentukan oleh mahkamah nanti,” tambahnya. 

Turut mewakili Petronas dalam kes saman ini adalah peguam Alvin Yong. 

Pada 10 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada syarikat minyak nasional itu untuk memohon semakan kehakiman bagi membatalkan Notis Penilaian tersebut.

Mahkamah Tinggi dalam hal ini juga memberi kebenaran kepada Petronas untuk memohon semakan kehakiman bagi mengisytiharkan seksyen tertentu dalam Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak sebagai ‘ultra vires’ kepada Perlembagaan Persekutuan.