Anda di sini

KDFA tangguh pengumuman pasukan Kuching FA, Piala Presiden 

Advertisement
Pemain Kuching FA gigih menjalani latihan menjelang sepak mula Liga Premier pada 29 Februari 2020.
Pemain Kuching FA gigih menjalani latihan menjelang sepak mula Liga Premier pada 29 Februari 2020.



KUCHING: Pengumuman pasukan Kuching FA dan Piala Presiden Kuching yang dijadual berlangsung hari ini ditunda ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan Persatuan Bolasepak Bahagian Kuching (KDFA).

Menurut Presiden KDFA, Fazzrudin Abdul Rahman pihaknya terpaksa menunda pengumuman itu kerana masalah dokumentasi pemain import yang hendak diambil.

“Memang kita merancang untuk mengumumkan nama pemain bagi kedua-dua pasukan itu esok.

“Bagaimanapun disebabkan masalah dokumentasi pemain import, kita terpaksa menangguh dulu pengumuman itu ke satu tarikh lain yang akan diberitahu kelak,” ujar Fazzrudin hari ini.

Beliau dalam pada itu mengesahkan Kuching FA telah menambat pemain import dari Jepun, Akira Higashiyama menjadikan pasukan itu kini mempunyai dua pemain import.

Katanya, Kuching FA akan menandatangani pemain baru dalam masa terdekat untuk melengkapkan kuota pemain import pasukan itu pada musim ini.

Bagaimanapun, Pengurus Kuching FA itu enggan mendedahkan butiran lanjut pemain baru tersebut.

Mengenai Akira, Fazzrudin percaya pengalaman dan kualiti dimiliki pemain itu dapat memperkuatkan lagi jentera serangan Kuching FA untuk mengharungi kempen Liga Premier.

Akira, 30, yang bermain di posisi serangan merupakan rakan baik pemain import Kuching FA, Yuta Suzuki di mana keduanya pernah bermain bersama-sama semasa menuntut di universiti di Kyoto, Jepun.

Selain bermain, Akira juga merupakan seorang jurulatih di mana beliau mempunyai lesen ‘A’ AFC dan pernah melatih kelab di Mongolia sebelum ini.

Kelab terakhir disertainya adalah Southland United FC yang berpangkalan di New Zealand.

Kuching FA akan membuka tirai Liga Premier 2020 menentang UKM FC di Stadium Negeri, Petra Jaya pada 29 Februari depan jam 8.15 malam.

 

  • oleh
  • Advertisement