Anda di sini

JBPM Sabah perhebat kempen keselamatan di rumah

Advertisement
 Kamarulzaman (duduk, tengah) di samping Anddre dan James bergambar kenangan bersama pegawai serta media Sandakan pada Majlis Apresiasi Bersama Media JBPM Zon 6 Sandakan.
MESRA MEDIA: Kamarulzaman (duduk, tengah) di samping Anddre dan James bergambar kenangan bersama pegawai serta media Sandakan pada Majlis Apresiasi Bersama Media JBPM Zon 6 Sandakan.

SANDAKAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah memperhebatkan Kempen Keselamatan Di Rumah dalam usaha mengurangkan kes kematian akibat kebakaran di negeri ini.

Pengarah JBPM Negeri Sabah Kamarulzaman Malik berkata pihaknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk media massa dalam usaha mereka memperhebatkan kempen berkenaan.

“Peranan media amat diperlukan dalam memastikan mesej jabatan sampai kepada semua lapisan masyarakat melalui penyiaran berita mengenai kempen berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Bersama Media JBPM Zon 6 Sandakan di Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, malam kelmarin.

Majlis itu juga diselitkan juga sempena perpisahan Penguasa Bomba Anddre Andrew selaku Ketua JBPM Zon 6 Sandakan yang akan berpindah ke JBPM Zon Beaufort.

Beliau berkata mengikut statistik pada tahun lalu berlaku peningkatan jumlah kematian akibat kebakaran rumah dengan 35 kes kematian direkodkan.

“Kebanyakannya dikenalpasti membabitkan kejadian kebakaran rumah kediaman pada waktu malam dan pihak kita akan melaksanakan kempen keselamatan melibatkan beberapa program pendidikan awam,” katanya.

Kamarulzaman berkata antaranya Bomba Bersama Masyarakat, kempen 1 Rumah 1 Alat Pemadam Api (1 RAPI) dan kempen pada musim perayaan bakal dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

“Sempena musim perayaan, kempen melibatkan pemeriksaan di pusat membeli-belah serta tempat tumpuan awam untuk memastikan tiada bahaya kebakaran,” katanya.

Dalam pada itu ditanya mengenai persediaan kesiapsiagaan agensi penyelamatan negara untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari ini, beliau berkata pihaknya telah dan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan khususnya perkara tidak diingini berlaku seperti kebakaran.

Beliau berkata pasukan bomba akan ditempatkan di pusat pengiraan undi di Beaufort dan kemungkinan akan membekukan cuti pegawai dan anggota pada hari berkenaan.

Terdahulu, Anddre ketika berucap merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama baik media dalam menyebarluaskan maklumat berkaitan peranan anggota bomba dalam pelbagai operasi penyelamatan sekaligus meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan penjagaan keselamatan setiap masa.

Pada majlis itu turut menyaksikan 20 orang media di Sandakan menerima sijil penghargaan Pengarah JBPM Sabah atas komitmen dan kerjasama yang tinggi kepada JBPM Zon 6 Sandakan.

Hadir sama, Timbalan Ketua JBPM Zon Sandakan Timbalan Penguasa Bomba Firdaus Ahmad, Ketua Balai Bomba Sandakan Penolong Penguasa Bomba Jimmy Lagung, Ketua Balai Bomba Kinabatangan Penolong penguasa Bomba Nurul Azlan Jamaludin, Ketua Balai Bomba Beluran Penolong Penguasa Bomba Rastam Keladi dan Pengerusi Persatuan Media Sandakan Sabah (PEMASSA) James Leong.

  • oleh
  • Advertisement