Anda di sini

Influenza: Bekalan antivirus mencukupi

Advertisement
 Dr Dzulkefly (kanan) bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka (kiri) selepas melawat pemain badminton nombor satu dunia Kento Momota di Hospital Putrajaya, Putrajaya semalam. — Gambar Bernama
BINCANG: Dr Dzulkefly (kanan) bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka (kiri) selepas melawat pemain badminton nombor satu dunia Kento Momota di Hospital Putrajaya, Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Stok antivirus di fasiliti Kementerian Kesihatan adalah mencukupi untuk sehingga tiga bulan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagi fasiliti perubatan swasta, beliau berkata terdapat lima pembekal dengan keupayaan membekal satu juta kapsul antivirus yang boleh digunakan 100,000 pesakit.

“Klinik swasta perlu memohon kepada kami jika mereka mahukan mendapatkannya daripada (lima) pembekal itu dan kelulusan akan diberi pada hari yang sama,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada staf Kementerian Kesihatan di pejabat kementerian, di sini semalam.

Dr Dzulkefly berkata adalah penting untuk diingatkan bahawa tidak semua sakit tekak adalah jangkitan influenza dan ia juga tidak bermakna semua orang memerlukan antivirus Tamiflu biarpun influenza berlaku.

“Orang ramai tidak seharusnya terlalu panik dengan wabak influenza A dan mendapatkan Tamiflu kerana ia akan menyebabkan rintangan kepada antivirus itu,” katanya.

Influenza adalah satu penyakit berjangkit dengan simptom flu seperti, demam, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit sendi dan keletihan.

Wabak ini adalah disebabkan virus influenza bermusim yang hanya menyebabkan demam selesema ringan kepada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan serius kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, wanita mengandung dan penghidap penyakit kronik.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal)  Datuk Dr Christopher KC Lee berkata Malaysia berisiko menghadapi satu lagi musim demam selesema tahun hadapan jika terdapat penggunaan Tamiflu yang meluas.

Beliau berkata hanya tiga golongan berisiko yang memerlukan Tamiflu.

“Mereka yang berusia 65 tahun ke atas yang menghidapi diabetes atau masalah jantung memerlukan Tamiflu untuk melindungi daripada komplikasi. Kedua mereka yang menunjukkan peningkatan simptom selepas hari kedua atau ketiga, dan kumpulan ketiga adalah mereka yang mengalami komplikasi sebelum dijangkiti influenza,” katanya.

Lee berkata kira-kira 98 peratus daripada rakyat Malaysia mudah pulih walaupun tanpa Tamiflu pada hari pertama atau kedua selepas dijangkiti influenza.

Sementara itu apabila diminta mengulas klip video menunjukkan dua kakitangan Kementerian Kesihatan yang ditugaskan mengendali pengimbas haba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dilihat sedang tidur sementara seorang lagi sedang asyik dengan telefon bimbit yang tular, Dr Dzulkefly berkata siasatan sedang dijalankan dan surat amaran sudah dikeluarkan.   

“Tidur itu saya tidak pasti apa keadaan sebenarnya. Saya boleh beri sedikit ‘benefit of doubt’ atau berbaik sangka kemungkinan dia (petugas itu) tidak sihat. Tetapi bermain telefon itu tidak boleh ambil mudah,” katanya.— Bernama