Anda di sini

Ibu dengan usia kandungan 22 minggu boleh memohon Insentif Ibu Bersalin - Fatimah

Advertisement
Gambar hiasan

KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata ibu yang usia kandungannya 22 minggu boleh memohon Insentif Ibu Bersalin (IIB).

"Ibu-ibu mengandung yang mencapai usia kandungan 22 minggu sudah boleh memohon IIB kerana kita mahu mempercepatkan pemberian bantuan sekali gus berjumlah RM450 bagi setiap ibu.

"Kalau ibu sudah bersalin, tempoh terakhir membuat permohonan untuk insentif ini ialah tiga bulan selepas melahirkan anak. Ini tempoh paling maksimum kerana bantuan ini hanya untuk masa tiga bulan bukan sepanjang tahun," katanya pada sidang media Pustaka Negeri, hari ini.

Fatimah berkata borang permohonan IIB boleh diperoleh daripada Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS), Pejabat Residen, Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil di seluruh negeri.

Borang permohonan juga katanya boleh diperoleh dengan memuat turun dari laman sesawang rasmi JKMNS dan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK).

Beliau memberitahu borang yang lengkap diisi mesti dikembalikan kepada Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak, KWKPK untuk diproses.

"Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika membentangkan Belanjawan 2020 mengumumkan IIB berjumlah RM450 bagi setiap ibu yang melahirkan anak bermula 1 Januari tahun ini.

"Namun pemohon mesti pemegang kad pengenalan Sarawak berstatus 'K', maknanya rakyat Sarawak," katanya.

Abang Johari ketika membentangkan Belanjawan 2020, 4 November 2019 juga memberitahu IIB bertujuan menyediakan bantuan penjagaan berpantang kepada ibu selepas bersalin. 

Beliau memberitahu bagi tujuan itu sejumlah RM18 juta disediakan sebagai bantuan kepada ibu bagi jagaan lepas bersalin untuk meringankan beban,” katanya. 
 

  • oleh
  • Advertisement