Anda di sini

Hanya 11 peratus pekebun kecil sawit peroleh MSPO

Advertisement
 Teresa Kok (tengah) melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Kilang Memproses Minyak Sawit Sin Huat Hin Palm Oil Mill (Kuala Selangor) Sdn Bhd, semalam. Turut hadir Pengarah Urusan Sin Huat Hin Palm Oil Mill Sdn Bhd, Datuk Seri Gan Hwa Soon dan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim (tiga, kiri) merangkap Ahli Dewan Undangan Sekinchan. — Gambar Bernama
DILANCAR: Teresa Kok (tengah) melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Kilang Memproses Minyak Sawit Sin Huat Hin Palm Oil Mill (Kuala Selangor) Sdn Bhd, semalam. Turut hadir Pengarah Urusan Sin Huat Hin Palm Oil Mill Sdn Bhd, Datuk Seri Gan Hwa Soon dan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim (tiga, kiri) merangkap Ahli Dewan Undangan Sekinchan. — Gambar Bernama

KUALA SELANGOR: Pekebun kecil kelapa sawit di negara ini digesa supaya lebih proaktif dalam usaha memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata ini kerana berdasarkan angka terkini diterima pihaknya, hanya 11 peratus pekebun kecil kelapa sawit di seluruh negara memperoleh sijil berkenaan dan angkanya adalah amat rendah dan membimbangkan.

“Malaysia mempunyai 5.8 juta hektar keluasan kawasan penanaman sawit dan 40 peratus daripadanya adalah milik pekebun kecil. Namun, hanya 11 peratus daripada jumlah pekebun kecil sawit mempunyai pensijilan MSPO.

“Kos RM40,000 untuk memperoleh sijil berkenaan ditanggung oleh kerajaan. Disebabkan itu, pekebun kecil sawit disarankan mengambil peluang memperoleh pensijilan ini dengan menyediakan dokumen yang diperlukan juruaudit,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan kilang memproses minyak sawit di Jalan Kampung Kuantan, di sini semalam.

Sebagai rekod, sebanyak 62.4 peratus atau 3.64 juta hektar kawasan penanaman kelapa sawit di seluruh negara memiliki pensijilan berkenaan.

Mengulas lanjut, Kok berkata sebagai negara pengeksport minyak sawit, Malaysia perlu memenuhi kehendak pelanggan terdiri daripada negara-negara maju yang mahukan minyak sawit dihasilkan melalui kaedah mampan dan mesra alam.

“Permintaan terhadap minyak sawit memang sentiasa tinggi tetapi mereka mahukan minyak sawit yang dihasilkan dengan cara lebih mampan. Disebabkan itu, kita sebagai pengeluar perlu mengikut kehendak pelanggan,” katanya.

Kok dalam pada itu menyeru pemilik kilang memproses kelapa sawit supaya sentiasa mematuhi garis panduan operasi ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terutamanya melibatkan pencemaran udara dan air.

Kata beliau, kementeriannya tidak akan teragak-agak untuk menutup kilang yang gagal mengikut garis panduan ditetapkan JAS kerana ia akan memaparkan imej buruk terhadap industri kelapa sawit negara. — Bernama

Advertisement