Anda di sini

Filem ‘The Garden Of Evening Mists’ buat penulis novelnya menangis

TAN TWAN ENG
TAN TWAN ENG

PENULIS kelahiran Pulau Pinang Tan Twan Eng tidak mampu menahan air mata semasa menonton filem ‘The Garden of Evening Mists’ baru-baru ini yang diadaptasi daripada novel keduanya dengan tajuk sama.

Sebagai rakyat Malaysia pertama dinobatkan sebagai penerima ‘Man Asian Literary Prize’ pada 2012, Tan berkata beliau amat terharu sehingga menitiskan air mata apabila mendapati ‘The Garden of Evening Mists’ sebuah filem yang sangat berkesan dan menyentuh perasaan.

Tan, 48, mengakui beliau berasa agak bimbang sebelum menonton filem itu, tetapi menarik nafas lega berikutan filem itu berjaya menyelami semangat serta mengekalkan “hati dan jiwa novel.”

“Aktor dan aktres amat berbakat, ia memaparkan banyak perasaan dan emosi sepanjang filem ini. Mereka berjaya membuatkan anda turut merasai kesedihan, trauma dan emosi dengan apa yang sedang mereka alami sepanjang filem yang menyedihkan ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui petang semalam pada sesi ‘Bertemu Penulis’ di MPH NU Sentral, Kuala Lumpur.

Tan, seorang peguam dan penulis berkata, “Filem bermula dengan menarik dan dalam beberapa ketika sahaja anda akan terbuai dengan jalan ceritanya.

“Saya yakin anda tidak akan kesal meluangkan masa dua jam menonton filem ini kerana ia akan memberikan pengalaman berharga terutamanya kepada rakyat Malaysia sususlan filem ini turut memaparkan keindahan kawasan desa kita,” katanya.

Filem itu yang akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 16 Januari, mengisahkan tentang Teoh Yun Ling, yang marah dan kecewa dengan kekejaman Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu, mencari ketenangan di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands.

Semasa berada di sana, dalam usahanya untuk membina sebuah taman, tanda peringatan terhadap mendiang saudara perempuannya, yang terkorban di tangan tentera Jepun, wanita itu menjalin hubungan cinta terlarang dengan tukang kebun warga Jepun yang penuh misteri, Nakamura Aritomo, yang akan mengubah kepercayaan mereka dan masa lampau.

Filem itu menampilkan pelakon terkenal antarabangsa termasuk aktres Malaysia berpangkalan di Taiwan Angelica Lee Sinje, aktor Jepun Hiroshi Abe, aktres Taiwan Sylvia Chang dan aktor Britain David Oakes.

Filem itu diterbitkan Astro Shaw dan HBO Asia dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan kerjasama CJ Entertainment.

Tan menghasilkan novel pertamanya ‘The Gift of Rain’ yang memaparkan kisah pada zaman sebelum dan semasa penjajahan Jepun dan diterbitkan pada 2007, semasa beliau melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana di Cape Town, Afrika Selatan dan buku itu tersenarai dalam Man Booker 2007.

Selain itu, ‘The Garden of Evening Mists’, yang diterbitkan pada 2012, turut memenangi Walter Scott Prize bagi Fiksyen Sejarah pada 2013, selain disenarai pendek bagi Man Booker Prize 2012, yang berkisar tentang keadaan selepas penjajahan Jepun.

Novel beliau telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa, antaranya, Sepanyol, Itali, Romania, Greek, Serbia, Czech, Perancis, Jerman, Belanda dan Poland.

Ketika ditanya kenapa beliau menulis berlatarbelakangkan zaman pergolakan, Tan berkata beliau mahu merungkai apa yang berlaku kepada mereka yang selamat daripada perang dan bagaimana mereka menghadapi kesannya selepas menjalani kehidupan yang amat sukar dan memilukan dalam sejarah manusia.

“Dalam novel kedua, pembaca mungkin sedar bahawa saya cuba menceritakan kisah pada waktu itu daripada sudut pandangan seorang wanita manakala dalam buku pertama daripada sudut pandangan watak lelaki,” katanya.

Ditanya tentang projeknya akan datang, Tan, tanpa memberikan butiran lanjut, berkata beliau sedang menulis novel ketiganya.

Filem itu memenangi anugerah Mekap & Rekaan Kostum Terbaik pada majlis anugerah berprestij Anugerah Golden Horse ke-56 tahun lepas, dan turut menerima pencalonan dalam pelbagai kategori iaitu Rencana Naratif Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Adaptasi Terbaik, Sinematografi Terbaik, Pengarahan Seni Terbaik, Mekap & Rekaan Kostum Terbaik, Skor Filem Asal Terbaik dan Suntingan Filem Terbaik. — Bernama