Anda di sini

DBOS, PETROS inisiatif transformasi ekonomi Sarawak

Advertisement
 Abang Johari ketika menyampaikan amanat semasa pelancaran PETROS.
PENTING: Abang Johari ketika menyampaikan amanat semasa pelancaran PETROS.

PENUBUHAN Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) antara inisiatif kerajaan negeri mentransformasikan ekonomi Sarawak untuk memastikan ia mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Dilancarkan 3 November 2017, DBOS dan memulakan operasi komersialnya Januari 2018 dengan modal berbayar sehingga RM500 juta.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika majlis perasmian pejabat DBOS yang terletak di Tingkat 2, Menara SEDC, Ithmus berkata merupakan alternatif baharu model kewangan kerajaan Sarawak untuk membiayai projek-projek pembangunan di negeri ini.

Bank milik sepenuhnya Sarawak ini dapat mengambil deposit daripada kerajaan negeri dan daripada syarikat berkaitan kerajaan pada masa akan datang.

Lebih penting dengan adanya bank ini, ia akan membolehkan Sarawak membiayai sendiri projek berpotensi seperti metanol tanpa kesulitan dari segi mendapatkan pinjaman.

Antara projek yang dibiayai oleh bank ini ialah projek infrastruktur asas termasuk yang berkaitan dengan Internet dan sebahagian daripada projek melibatkan sistem pengangkutan.

DBOS juga akan menyediakan pembiayaan bagi projek-projek pembangunan dalam sektor tenaga diperbaharui, industri minyak dan gas, penjagaan kesihatan dan pertanian moden. 

“Ini adalah sebahagian daripada usaha mentransformasikan ekonomi. Kita ada bank yang akan membiayai projek-projek strategik kita dan sudah tentu projek-projek ini mesti mempunyai nilai komersial kerana mereka (peminjam) perlu membayar balik pinjaman,” katanya.

Sehingga 31 Oktober 2018, DBOS memegang jumlah deposit RM3.448 bilion dengan fasiliti kredit dilulus berjumlah RM350 juta dan jumlah diagihkan RM244 juta.

Semasa menyampaikan ucapan penggulungannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 13 November 2019, Abang Johari berkata disebabkan terdapat banyak pesaingan mendapatkan sumber-sumber kewangan model kewangan konvensional tidak lagi pilihan terbaik.

“Kita perlu melihat model-model kewangan lain yang boleh membantu mencapai impian pembangunan kita.

“Kita perlu kreatif; kita perlu membangunkan mekanisme baharu dan meneroka perairan tanpa had jika perlu. Oleh itu, inisiatif pembiayaan alternatif ini akan saya dan rakan-rakan kabinet usahakan sehingga berjaya,” ujarnya.

Kerajaan negeri juga tidak perlu menggunakan rizab yang ada sekiranya peruntukan bagi pembangunan tidak mencukupi kerana DBOS boleh menyediakan pembiayaan.

Abang Johari berkata, tadbir urus risiko DBOS dan dasar-dasar lain adalah mengikut garis panduan, kawal selia, dan standard Bank Negara Malaysia (BNM) untuk amalan terbaik.

“Dalam memberi pembiayaan, DBOS mematuhi sepenuhnya ‘Capital Adequacy Ratio’ yang menyediakan garis panduan bagi mengelak DBOS berdepan krisis.

“DBOS mengemukakan laporan kewangan kepada BNM dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Persekutuan setiap tahun,” katanya.

Dalam memastikan Sarawak terlibat aktif dalam industri minyak dan gas, selain memberi kerajaan negeri kuasa kawal selia ke atas sumber minyak dan gas di negeri ini maka pada Mac 2018 PETROS dilancarkan.

Industri minyak dan gas, merupakan antara penyumbang utama kepada kemakmuran ekonomi negeri ini sejak awal penubuhan Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam perutusan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2020 pada 23 Disember, 2019 memberi jaminan kerajaan negeri akan terus mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan pelaburan, penggunaan dan simpanan domestik kekal kukuh.

Salah satu industri yang diberi penekanan iaitu kuasa kawal selia kerajaan negeri terhadap sumber-sumber minyak dan gas Sarawak menerusi PETROS.

“Untuk mempunyai kuasa kawal selia terhadap sumber-simber minyak dan gas di bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 Petroleum Sarawak Berhad atau PETROS ditubuhkan .

“PETROS berperanan memastikan Sarawak terlibat aktif dalam aktiviti-aktiviti huluan serta hiliran industri minyak dan gas di negeri ini.

“Dalam waktu terdekat ini, PETROS diberi tugas penting iaitu mengurus perniagaan gas domestik dalam negeri yang ketika ini di bawah Petronas,”katanya.

Menurutnya dalam beberapa tahun akan datang bakal menyaksikan lebih banyak penglibatan PETROS dalam industri minyak dan gas.

Ini kerana ujarnya jumlah pelaburan dalam industri minyak dan gas serta petrokimia di negeri ini dijangka meningkat.

“Kepekaan dan tahu akan hak-hak kita telah membolehkan kita mengiktiraf kuasa kita untuk memperkenalkan sumber-sumber pendapatan baharu serta mengubah bentuk pendapatan seperti diinginkan.

“Bermula tahun ini (Januari 2019) kita mengenakan cukai jualan sebanyak lima peratus (5%) ke atas produk-produk minyak dan gas yang dieksport.

“Cukai jualan ini dijangka memberi pendapatan kira-kira RM3 bilion setahun kepada Sarawak,” katanya.

Mengimbau majlis pelancaran PETROS, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan memantau PETROS bagi memastikan ia kukuh, berkesan dan cekap dalam melaksanakan peranannya dalam industri minyak, dan gas.

Menurutnya pengawal selia dan pemantauan oleh kerajaan negeri ke atas PETROS adalah mandatori.

“Justeru PETROS mesti membangunkan kehadirannya yang strategik di Sarawak untuk berkembang dan menyampaikan manfaat ekonomi secara mampan menerusi model perniagaannya, pada masa sama melindungi kepentingan kerajaan negeri serta sumbernya,” ujarnya.

Pada majlis sama, Abang Johari berkata Sarawak akan mengambil alih sepenuhnya pengawalseliaan dalam aspek huluan dan hiliran dalam industri minyak dan gas di negeri ini (bermula Julai 2018).

Beliau menambah ia merupakan sebahagian penurunan kuasa oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri Sarawak.

Pembentukan PETROS katanya adalah pelaksanaan hak perlembagaan di bawah Perkara 2(c) Senarai negeri dan 8(j) Senarai Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan hasil rundingan penurunan kuasa antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Penurunan kuasa itu katanya selaras dengan kuasa diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada Sarawak.

Menurutnya mana-mana individu atau syarikat yang terlibat dalam industri minyak dan gas di negeri ini mesti mempunyai lesen, permit, pajak dan kelulusan sama ada di bawah OMO 1958 atau Ordinan Pengagihan Gas (GDO) 2016.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan penguatkuasaan undang-undang negeri itu tidak akan menjejaskan kepentingan atau pelaburan Petronas (Petroliam Nasional Berhad) serta syarikat lain yang sudah terlibat dalam industri minyak dan gas di Sarawak.

“Pelancaran PETROS menandakan satu lagi kejayaan industri minyak dan gas negeri dan Sarawak, kerana ia mempunyai sumber baharu untuk membolehkannya meningkatkan model pengurusan sumber negeri,” katanya.

Menyentuh mengenai kemajuan lain berkaitan industri minyak dan gas di negeri ini rentetan penubuhan PETROS ialah pembangunan projek loji metanol di Tanjung Kidurong, Bintulu pada September 2019.

Projek ini menandakan langkah pertama dalam merealisasikan pembangunan dan pembinaan loji mega methanol pertama di negeri ini dan kedua di negara itu selepas di Labuan.

Dikenali sebagai Sarawak Petchem Methanol, projek ini akan menjadi pemangkin untuk terus mentransformasikan Bintulu daripada pengeluar gas asli cecair (LNG) terkenal dunia menjadi hab petrokimia.

Abang Johari berkata pembangunan industri petrokimia akan menjadi jentera pertumbuhan ekonomi utama sarawak kerana ia akan mengeluarkan metanol dengan kapasiti tahunan, 1.7 tan metrik setahun.

Sarawak Petchem akan menjadi syarikat milik negeri Sarawak yang pertama mengeluarkan metanol dengan kapasiti tahunan, 1.7 tan metrik setahun, katanya.

Keputusan untuk penubuhan Petchem Sarawak ujarnya tepat pada masanya disebabkan banyaknya gas asli sebagai bahan mentah untuk pembangunan Loji Metanol mega.

“Loji berkenaan dijangka mula beroperasi pada 2023 dan akan menerima 160 juta meter padu standard sehari (MMSCFD) bahan mentah gas asli dari Petronas,” katanya.

Abang Johari juga mendedahkan projek berkenaan menandakan satu lagi peristiwa penting, bukan sahaja dalam usaha menjadikan Sarawak negeri perindustrian tetapi lebih penting merealisasikan usaha untuk menceburi industri minyak dan gas, terutamanya dalam sektor petrokimia hiliran.

  • oleh
  • Advertisement