Anda di sini

Calon BN yakin mampu pertahan Parlimen Kimanis

 Mohamad ketika ditemuramah media.
CALON BN: Mohamad ketika ditemuramah media.

KIMANIS: Menyedari kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis tidak akan mengubah tampuk pemerintahan kerajaan, namun calon BN Datuk Mohamadin Alamin menganggap ada perkara lain yang lebih penting dalam mempertahankan Kerusi Parlimen itu.

Ketua UMNO Bahagian Kimanis ini bertekad untuk menjadi Ahli Parlimen yang mampu menghantar mesej yang kuat kepada kerajaan.

"Sebagai kerajaan, pentadbiran mereka perlu diubah dan perkhidmatan kepada rakyat hendaklah diperbaiki untuk menyelesaikan isu rakyat.

"Apabila rakyat marah, wakil rakyat perlu menghantar mesej dan menegur kerajaan hari ini.

"Justeru, dalam PRK inilah peluang untuk kita (pembangkang) menegur kerajaan dalam memperbetulkan perkhidmatan kepada rakyat," katanya ketika ditemui Utusan Borneo baru-baru ini.

Beliau berkata, sebagai kubu kuat BN, keyakinannya amat tinggi untuk BN mempertahankan Kerusi Parlimen Kimanis dalam PRK ini.

Menurutnya, tsunami politik yang melanda BN dalam pilihan raya umum (PRU) yang lepas menyebabkan parti berkenaan kehilangan banyak Kerusi.

"Ramai pemimpin kita yang lari, tetapi tindakan mereka itu sebenarnya menghantar mesej kepada kerajaan.

 

"Kerajaan kini banyak menabur janji dan fitnah yang membuatkan rakyat berubah.

"Disebabkan itulah saya yakin rakyat akan kembali bersama-sama dengan BN," jelasnya.

Mohamad berkata, memasuki fasa akhir kempen PRK Kimanis, penerimaan rakyat semakin kuat dan positif terhadap calon BN.

Menurutnya, dakwaan yang mengatakan sokongan rakyat kepada BN semakin berkurang hanyalah pembohongan semata-mata dan bukannya fakta.

Katanya, setiap hari beliau bersama jentera BN berkempen dari rumah ke rumah dan berjumpa dengan seramai mungkin pengundi dalam tempoh yang masih berbaki ini.

"Saya cuba naik sebanyak mana rumah dan sampai ke kawasan yang jauh. Respon pengundi sangat baik serta mereka faham isu yang dibangkitkan dalam PRK ini.

"Bagaimanapun, kita tidak sambil lewa dan terus fokus, kerja kuat dan inilah yang saya ingatkan kepada jentera supaya terus kerja kuat dan fokus walaupun respon kita terima sangat positif untuk BN.

"Banyak isu yang menghantui rakyat terutama selepas PRU lepas antaranya masalah kos sara hidup yang semakin tinggi," jelasnya.

Beliau sedar, di Kimanis ramai dalam kalangan rakyat bergantung hidup sebagai nelayan dan petani.

Katanya, dengan kos sara hidup semakin tinggi dan harga tidak terkawal, bagaimana rakyat mampu bertahan.

Selain itu katanya, isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang dibangkitkan kerajaan tidak menguntungkan rakyat dan negeri Sabah.

Beliau berkata, pelaksanaan PSS tidak baik untuk jangka masa panjang dan ia turut menjadi kerisauan rakyat terutama pengundi.

Mohamad berkata, kerajaan sepatutnya menyelesaikan isu pendatang tanpa izin (PTI) dengan sebaiknya.

"Kalau mereka mahu kami selesaikan isu ini, letak kami sebagai kerajaan. Kami boleh selesaikan masalah ini.

"Dengan adanya PSS yang boleh diperbaharui setiap tahun, bayangkan rakyat Sabah terpaksa membayar jumlah lebih tinggi untuk pasport berbanding bayaran PSS untuk PTI.

"Di mana kepentingan rakyat? Perkara inilah yang membuatkan rakyat marah kerana ia tidak adil kepada rakyat Sabah," jelasnya.

Beliau berkata, jika mahu menyelesaikan isu rakyat, gunakan pendekatan yang betul dengan berbincang bersama rakyat dan juga pemimpin.