Anda di sini

Azizah rayu rakyat pilih calon kerajaan

 Azizah beramah mesra dengan penduduk ketika mengadakan lawatan dari rumah ke rumah.
MESRA: Azizah beramah mesra dengan penduduk ketika mengadakan lawatan dari rumah ke rumah.

MEMBAKUT: Ketua Penyelaras Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Datuk Azizah Mohd Dun merayu kepada masyarakat khususnya penduduk di Parlimen Kimanis supaya memilih calon dari kalangan parti kerajaan bagi memastikan segala usaha untuk rakyat dapat diteruskan dengan lancar.

Beliau berkata, sekiranya rakyat memilih calon daripada pembangkang sudah pasti beberapa perkara terutama aspek kebajikan rakyat sukar dilaksanakan.

"Dengan adanya seorang wakil rakyat daripada kerajaan sudah tentu sebarang masalah atau keperluan rakyat di peringkat akar umbi dapat dibantu dengan mudah.

"Jangan sia-siakan undi dengan menyokong calon pembangkang kerana tiada manfaat yang rakyat akan dapat kerana mereka adalah pembangkang, " kata Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke beberapa buah rumah dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lumat dan PDM Mawao di Membakut.

Sempena lawatan itu, selain berkempen, Azizah turut menerangkan kepada penduduk yang ditemui tentang dasar-dasar kerajaan termasuk bantuan-bantuan untuk golongan B40.

"Dalam berkempen untuk pilihan raya kecil (PRK) Kimanis ini, selain membantu calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), kita juga turut menyampaikan maklumat kepada rakyat berhubung dasar serta bantuan daripada kerajaan.

"Mana-mana permasalahan rakyat, akan kita ajukan kepada jabatan dan agensi kerajaan bagi memastikan perkara itu dapat diambil tindakan segera sekaligus memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik," katanya.