Anda di sini

Saya bukan David Copperfield, perlu masa untuk siapkan projek rakyat- Abang Johari

Advertisement
Abang Johari setibanya di Dataran Samarahan untuk menghadiri Program Sarawakku Sayang
Abang Johari setibanya di Dataran Samarahan untuk menghadiri Program Sarawakku Sayang, hari ini. - Gambar oleh Chimon Upon

KOTA SAMARAHAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau bukan ahli silap mata yang boleh menyiapkan projek-projek pembangunan rakyat sekelip mata.

Beliau berkata penyiapan projek-projek rakyat seperti bekalan air dan elektrik khususnya di kawasan luar bandar negeri ini memerlukan masa.

"Beri saya masa, ya (penyiapan projek-projek bekalan air dan elektrik di luar bandar) ambil masa, tidak dapat dilaksanakan serta merta.

"Saya tidak ada ilmu silap mata. Saya bukan David Copperfield. Saya ambil masa untuk lakukan  semua ini...Asalkan ada sumber kewangan, Alhamdulillah Sarawak ada sumber kewangan untuk melaksanakan semua projek ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2020-2025)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sarawakku Sayang sempena ulang tahun ke-tiga Abang Johari sebegai Ketua Menteri Sarawak keenam di Dataran Samarahan di sini, hari ini.

Abang Johari berkata kerajaan negeri di bawah kepimpinannya akan meneruskan usaha pemimpin-pemimpin negeri terdahulu khususnya Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) yang memberi keutamaan membangunkan luar bandar.

"Di bawah RMK12, bermula tahun ini hingga 2025 pasukan Tok Nan dipimpin oleh saya merancang dari semasa ke semasa mengubah asas ekonomi kepada ekonomi digital untuk menjadikan Sarawak negeri maju dalam persekutuan Malaysia menjelang 2030.

"Pertama, kita meneruskan usaha membekalkan air, elektrik, juga jalan raya termasuk jambatan untuk menghubungkan semua kawasan di Sarawak khususnya di luar bandar," ujarnya.

Kerajaan negeri katanya akan menggunakan cara baharu yang diiktiraf dunia iaitu Bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS) dan Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (SARES) untuk membekalkan sumber air bersih dan elektrik ke kampung-kampung.

Ketika ini katanya, Sarawak memperhebatkan usaha menyediakan bekalan air bersih ke kawasan luar bandar termasuk Samarahan, Simunjan sehingga Kabong dan Sebuyau.

Di bawah RMK12 katanya, kerajaan negeri akan meneruskan kerja-kerja menyukat tanah termasuk tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi mengiktiraf hak pemilikan terhadap tanah NCR.

"Kerajaan tidak pernah berhasrat mengambil tanah rakyat, sebaliknya memberi hak kepada pemiliknya agar dapat dibangunkan bagi tujuan pertanian komersial," katanya.

Kerajaan negeri juga katanya akan membangunkan lagi sektor pelancongan kerana ia terbukti antara penyumbang pendapatan negeri.

"Sudah tentu, perkara keempat yang hendak kita bangunkan ialah bakat kita...Kalau ini berjaya kita akan teruskan kepada RMK13, 2025 hingga 2030.

"Di samping itu, kita akan melatih kepimpinan kita sama ada di peringkat penjawat awam, masyarakat dan politik," katanya sambil menambah untuk melatih orang yang boleh mengurus dan mentadbir Sarawak dengan betul bukannya mudah.

Pemimpin di Sarawak katanya mesti mempunyai kemahiran dan pengalaman menyeimbangkan keperluan agama.

Beliau menambah, dari sudut agama, Sarawak merupakan negeri pertama di Malaysia menubuhkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kerana kerajaan percaya setiap agama mengajar manusia baik-baik belaka.

"Saya akan membangunkan Sarawak secara adil...Di Sarawak tiada timbul isu-isu perkauman, apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia, janganlah sampai ke Sarawak.

"Perkahwinan campur bukan perkara asing bagi rakyat Sarawak malah ia menyebabkan ketegangan kaum tidak berlaku di sini," ujarnya.

Mengenai Program Sarawakku Sayang, Abang Johari berkata ia bagi mengingatkan rakyat agar berganding bahu terus menjaga Sarawak dengan baik seperti diamanahkan oleh Tok Nan ketika beliau menjadi Ketua Menteri.

"Samarahan untuk penganjuran program ini kerana ia tapak pertama menyaksikan pembangunan tersusun oleh bekas ketua menteri kita pertama Tun Pehin Sri Taib Mahmud yang mengubah Samarahan dari kampung kepada kawasan begitu maju hari ini.

"Ini disambut oleh Allahyarham Tok Nan yang juga memulakan kerjaya politiknya di Samarahan.

"Sebab itulah hari ini, kita meneruskan usaha-usaha menyayangi Sarawak. Saya dan rakan-rakan yang ada dalam kabinet meneruskan usaha-usaha ini dengan pendekatan sedikit berubah," katanya.

Hadir sama, isteri ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Amar Juma'ani  Tuanku Bujang; Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Keluarga, Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah.

  • oleh
  • Advertisement