Anda di sini

Sarawak mempelopori pembangunan bahan api hidrogen

Advertisement
 Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari melakukan demonstrasi mengisi bahan api hidrogen semasa merasmikan  Loji Pengeluaran Hidrogen Bersepadu dan Stesen Pengisian Hidrogen di Bintawa pada Mei 2019.
MESRA ALAM: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari melakukan demonstrasi mengisi bahan api hidrogen semasa merasmikan Loji Pengeluaran Hidrogen Bersepadu dan Stesen Pengisian Hidrogen di Bintawa pada Mei 2019.

DENGAN peralihan kepada teknologi hijau di dunia kini terutama dalam sektor pengangkutan awam, Sarawak tidak ketinggalan dengan memulakan langkah ke arah pembangunan bahan api hidrogen.

Memiliki sumber air yang banyak menjadi kelebihan kepada Sarawak untuk meneroka sektor bahan api hidrogen yang bukan sahaja berpotensi untuk kegunaan tempatan malah di negara lain.

Ia kerana penggunaan bahan api hidrogen tidak terhad kepada kenderaan persendirian bahkan juga pengangkutan awam yang mesra di seluruh rantau ini nanti.

Ia juga sebahagian daripada rancangan jangka panjang negeri untuk memastikan sistem pengangkutan awam Sarawak dijalankan dengan tenaga bersih, sejajar dengan trend dunia yang ada sekarang untuk melindungi alam sekitar.

Menyedari potensi dan peluang dalam sektor berkenaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerusi inisiatif teknologi hijau telah melaksanakan projek perintis dengan menubuhkan Loji Pengeluaran Hidrogen Bersepadu dan Stesen Pengisian Hidrogen.

Malahan ia adalah langkah berani Kerajaan Sarawak ke arah mencapai matlamat berkenaan selain menjadikan ia sebagai pendekatan kepada negeri ini untuk menangani isu alam sekitar dengan tidak hanya terus bergantung kepada bahan api fosil.

Untuk itu, maka bermulalah inisiatif kerajaan negeri ke arah membangunkan hidrogen dengan memperuntukkan sejumlah RM16 juta bagi pelaksanaan stesen isian semula dan loji pengeluaran hidrogen bersepadu, termasuk bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan berkaitan hidrogen.

Dilancarkan pada Mei 2019 oleh beliau sendiri, loji dan stesen bersepadu itu terletak di Estet Perindustrian Bintawa di Kuching yang merupakan yang pertama bukan sahaja di Malaysia tetapi di Asia Tenggara.

Pembinaan dan operasi loji hidrogen dan stesen isian semula itu dipertanggungjawabkan kepada penyedia bekalan elektrik utama negeri iaitu Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan kerjasama Linde EOX Sdn Bhd, anak syarikat Linde Malaysia.

 Abang Johari (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara SEDC dan Foshan Feichi pada 10 September 2018, bagi tujuan kerjasama membekalkan bas berkuasa hidrogen dari China.
TERMETERAI: Abang Johari (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara SEDC dan Foshan Feichi pada 10 September 2018, bagi tujuan kerjasama membekalkan bas berkuasa hidrogen dari China.

Memetik ucapan Abang Johari semasa majlis pelancaran Loji Pengeluaran Hidrogen Bersepadu dan Stesen Pengisian Hidrogen berkenaan, beliau percaya Sarawak boleh menjadi pengeksport hidrogen pada masa akan datang.

“Seperti yang anda tahu, seluruh dunia kini beralih kepada tenaga hijau dan sebab itu kerajaan kita memperuntukkan dana bagi menerokai sumber air bagi mengeluarkan hidrogen.  

“Saya percaya dalam masa 10 tahun akan datang teknologi ini akan menjadi lebih murah dan Sarawak boleh menjadi pengeksport hidrogen,” katanya.

Malahan beliau ketika berucap merasmikan Forum Tenaga Diperbaharui dan Lestari (SAREF) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) baru-baru ini, telah mengumumkan enam lagi stesen isian semula bahan api hidrogen akan dibina di Sarawak bagi memenuhi keperluan sektor pengangkutan hijau di negeri ini pada masa akan datang.

Katanya, stesen-stesen berkenaan akan dibangunkan di Kuching (dua), Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri, masing-masing satu.

“Loji Pengeluaran Hidrogen Bersepadu dan Stesen Pengisian Hidrogen ini adalah penyelidikan rintis fasiliti yang memberi pemahaman mendalam mengenai sektor pengangkutan hijau.

“Sebagai sebahagian daripada penyelidikan kita ke atas kebolehterimaan bahan api ini pada masa depan, kita ketika ini sedang menguji tiga bas hidrogen di jalan raya. Bas ini dimiliki dan diurus Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC),” katanya.

Loji ini mampu mengeluarkan 130 kilogram (kg) hidrogen sehari pada tahap kebersihan 99.999 peratus dan berupaya menyokong serta memenuhi pengisian sehingga lima bas dan 10 kereta sehari.

BAS HIDROGEN KE ARAH PENGANGKUTAN HIJAU

 Bas yang menggunakan bahan api hidrogen kini dalam tempoh percubaan di Kuching.
INOVATIF: Bas yang menggunakan bahan api hidrogen kini dalam tempoh percubaan di Kuching.

SEBAGAI permulaan kepada kebolehupayaan loji berkenaan, Sarawak kemudian memulakan langkah susulan dengan menguji tahap penggunaan bahan api hidrogen terbabit dengan tiga bas hidrogen.

Ia selaras dengan matlamat kerajaan negeri ke arah pengangkutan hijau bagi pengangkutan dan sifar pelepasan karbon kerana ia hanya melepaskan air serta haba.

Inisiatif pengangkutan hijau menggunakan bahan api hidrogen oleh Ketua Menteri telah dimulakan seawal tahun 2018 dengan menandatangani perjanjian bersama pihak berkaitan.

Antaranya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Foshan Feichi Automobile Manufacture Co LTD (China) pada 10 September 2018, iaitu untuk membekalkan tiga bas berkuasa hidrogen dari China.

Susulan daripada itu tiga bas hidrogen yang pertama bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau Asia Tenggara berada di Kuching sekitar Ogos 2019 untuk tempoh percubaan.

Dengan kapasiti penumpang 34 orang duduk dan berdiri, bas hidrogen berkenaan perlu melalui ujian percubaan bagi memastikan keberkesanan dan kebolehupayaannya di jalan raya.

Sebagai permulaan juga bas-bas hidrogen berkenaan akan ditempatkan di agensi termasuk satu untuk sektor pelancongan sebagai salah satu strategi menarik pelancong yang datang sekali gus mempromosikan Sarawak sebagai mesra alam.

Fakta mengenai inisiatif penggunaan bahan api hidrogen di Sarawak

* Pada 10 September 2018, satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Foshan Feichi Automobile Manufacture Co LTD (China) untuk membekalkan bas berkuasa hidrogen dari China.

* Tiga bas hidrogen berkenaan tiba di Sarawak sekitar Mei 2019.

* Pada 27 Mei 2019, Ketua Menteri telah melancarkan Loji Pengeluaran Hidrogen Bersepadu dan Stesen Pengisian Hidrogen di Estet Perindustrian Bintawa di Kuching.

* Ia sekali gus menjadikan Sarawak bukan sahaja negeri pertama di Malaysia tetapi antara yang pertama di Asia Tenggara yang mempunyai loji dan stesen seumpama itu.

* Susulan itu, sekitar Ogos 2019 bas hidrogen telah berada di atas jalan raya untuk tempoh percubaan. Dua daripadanya adalah untuk orang awam dan sebuah lagi bagi kegunaan pelancong.

  • oleh
  • Advertisement