Anda di sini

Rakyat Sarawak harus bijak tangani isu ekstremisme, perkauman

Advertisement
LEE KIM SHIN
LEE KIM SHIN

MIRI: Rakyat berbilang kaum dan budaya di negeri ini perlu bersikap bijak serta tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu berkaitan ekstremisme yang disebarkan menerusi media sosial termasuk laman bual sosial seperti WhatsApp dan sebagainya.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, perkara seumpama itu jika tidak ditangani dengan bijak boleh menimbulkan ketegangan atau huru-hara dalam negeri ini.

Oleh itu, beliau mengingatkan rakyat negeri ini agar jangan sesekali terpengaruh atau mudah terpesong dengan mesej berunsur perkauman dan ekstremisme yang boleh menimbulkan ketegangan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkannya dalam laman sosial serta laman bual WhatsApp terutamanya.  

“Perlu berhati-hati apabila anda menerima mesej-mesej berunsur ekstremis seperti ini dan bertindak bijak dengan tidak menyebarkannya serta jangan sesekali terpengaruh atau terpesong oleh mesej seperti ini.

“Sebagai rakyat Sarawak yang hidup harmoni dalam kalangan pelbagai kaum dan agama, kita perlu mengekalkannya dan mengelak perkara yang boleh menjejaskan perpaduan kita yang kukuh ini,” katanya.

“Pada masa yang sama kita memastikan perpaduan kaum dan keharmonian itu terus berkekalan agar kita dapat terus hidup bersama dan meraikan pelbagai jenis perayaan bersama-sama dengan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Lee memberitahu demikian selepas menyampaikan angpau dan sumbangan Tahun Baharu Cina daripada Persatuan Che Lee Khor Moral Uplifting kepada 100 penerima yang terdiri daripada golongan miskin dan kurang bernasib baik di sini, semalam.

Dalam ucapannya, beliau turut melahirkan rasa bangga dengan usaha persatuan itu yang tidak pernah melupakan golongan miskin dan memerlukan, setiap kali tiba musim perayaan.

“Persatuan Che Lee Khor Moral Uplifting bukan sahaja menyumbang kepada masyarakat Cina pada musim perayaan Tahun Baharu Cina, tetapi juga perayaan lain seperti Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri.

“Mereka menyumbang tanpa mengira bangsa dan agama dan aktiviti amal ini dilakukan pada setiap tahun, sejak bertahun-tahun yang lepas,” jelas Lee sambil melahirkan rasa bangga kerana bukan hanya satu tetapi terdapat beberapa NGO seperti itu turut menyumbang kepada masyarakat.

Sehubungan itu Lee mahu lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), menyahut seruan kerajaan untuk tampil membantu masyarakat yang memerlukan serta kurang bernasib baik dan merupakan keunikan negeri Sarawak.

“Rakyatnya saling membantu tanpa mengira bangsa dan agama tetapi atas dasar kemanusiaan. Keindahan ini yang perlu dipertahankan dan dikekalkan agar Sarawak terus menjadi model kepada perpaduan dan keharmonian kaum di negeri ini,” tambahnya.

Advertisement