Anda di sini

Penjawat awam mengaku tidak bersalah tumbuk rakan sekerja

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penjawat awam berusia 34 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap rakan sekerja dengan menumbuknya di bahagian muka.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin tempatan, selain menetapkan 11 Februari depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Menurut fakta kes, pada 20 Ogos 2018, tertuduh sedang berbincang mengenai hal kerja dengan rakan sepejabatnya yang berusia 46 tahun.

Semasa berbincang, tertuduh tiba-tiba meluru ke arah mangsa dan terus menumbuknya di bahagian muka. 

Kejadian berlaku pada jam 11 pagi semasa mereka berada di tempat kerja di sebuah premis di Jalan Tun Jugah. 

Akibat perbuatan itu, mangsa mengalami lebam dan cedera di bahagian mata dan hidung.

Mangsa yang telah mengenali tertuduh sejak 2011 itu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. 

Dalam hal ini, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tempoh tujuh tahun dan boleh dikenakan denda. 

Advertisement