Anda di sini

Pendaftaran subsidi petrol M40 dijangka awal suku kedua 2020

 Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad (kiri) merangkap Anggota Parlimen Shah Alam menerima cenderahati daripada legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun (kanan) ketika hadir pada Majlis Pembukaan Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad 2020 di Stadium Rhino KV Arena Seksyen 13, Shah Alam semalam. Turut hadir Menteri Perdaganggan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah).  — Gambar Bernama
TERIMALAH: Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad (kiri) merangkap Anggota Parlimen Shah Alam menerima cenderahati daripada legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun (kanan) ketika hadir pada Majlis Pembukaan Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad 2020 di Stadium Rhino KV Arena Seksyen 13, Shah Alam semalam. Turut hadir Menteri Perdaganggan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah). — Gambar Bernama

 SHAH ALAM: Pendaftaran subsidi petrol bagi isi rumah kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dijangka dibuka pada awal suku ke-dua tahun ini kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kementeriannya dan Kementerian Kewangan sedang mengkaji mekanisme yang lebih sesuai untuk menyalurkan subsidi berkenaan kepada penerima M40 sama ada melalui kad atau tunai.

“Data untuk penerima bagi golongan B40 kami telah lengkapkan dan kaedah yang sesuai bagi pengagihan subsidi merupakan antara yang sedang dibincangkan oleh kedua-dua kementerian, bila program subsidi ini dilaksanakan kelak.

“Pada ketika yang sama KPDNHEP menjalankan kajian untuk B40 (dan) berpendapat sumbangan tunai untuk pengagihan subsidi adalah lebih cekap berban-ding kaedah lain, jadi dengan penangguhan (pelaksanaan subsidi) ini, ia memberi peluang kepada kedua-dua kementerian untuk mencapai satu keputusan sama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kejohanan Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad di sini semalam.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata program subsidi petrol dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengelakkan subsidi berkenaan digunakan oleh golongan mewah dan warga asing.

“Rakyat perlu memahami bahawa kebaikan pelaksanaan petrol subsidi ini adalah kita ambil subsidi yang dinikmati oleh orang berada, orang kaya atau warga asing yang tinggal di negara kita dan beri kepada golongan yang layak,” katanya. — Bernama