Anda di sini

Pembangunan menyeluruh, berintegriti visi Abang Johari

Advertisement
 Perjuangan untuk semua tanpa mengira kaum dan agama yang didukung Abang Johari mengukuhkan lagi perpaduan di kalangan rakyat Sarawak.
ADIL: Perjuangan untuk semua tanpa mengira kaum dan agama yang didukung Abang Johari mengukuhkan lagi perpaduan di kalangan rakyat Sarawak.

PEMBANGUNAN dan kemajuan sesebuah wilayah amat bergantung dengan kedudukan kewangan yang kukuh. Matlamat Kerajaan Sarawak adalah untuk menjadikan negeri ini maju pada 2030.

Ia boleh diumpamakan sebuah keluarga. Jika kewangan sebuah keluarga kukuh, maka lebih banyak keperluan dapat disediakan untuk anak-anak. Begitu juga kedudukan sesebuah wilayah.

Justeru, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebaik sahaja memegang tampuk pentadbiran negeri pada 13 Januari 2017, beliau merangka pelan ekonomi negeri yang menyeluruh.

Sebagai seorang berpandangan jauh, beliau mahu Sarawak meneroka potensi ekonomi moden yang bergerak atas platform teknologi komunikasi.

Beliau mahu Sarawak meneroka ekonomi digital yang mempunyai pasaran besar di seluruh dunia. Menurutnya, ekonomi digital akan membuka peluang Sarawak mengembangkan jualan produk atau perkhidmatan tanpa sempadan.

Sejak awal dilantik sebagai Ketua Menteri, katanya beliau amat menekankan pentingnya Sarawak meneroka ekonomi digital.

“Sebabnya satu negeri kita besar, sumber kita ada dan penduduk tak ramai. Maka kita gunakan teknologi untuk mengembangkan ekonomi dan jangkauan ekonomi lebih jauh,” katanya dalam satu temu bual khas di rumahnya pada pertengahan Disember 2019.

Menurutnya, Sarawak memiliki masa depan yang amat cerah jika sumber dan tenaga manusia dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Saya nampak bahawa ke arah Industri 4.0 dan kekuatan yang ada di Sarawak begitu banyak khususnya dari segi tenaga, jika tenaga dan tenaga manusia ini dicantumkan saya rasa masa depan kita cerah sekali,” katanya.

 Belanjawan Negeri 2020 menunjukkan kesungguhan Abang Johari dan kabinetnya membangunkan Sarawak menuju status negeri maju pada 2030.
LANDASAN TEPAT: Belanjawan Negeri 2020 menunjukkan kesungguhan Abang Johari dan kabinetnya membangunkan Sarawak menuju status negeri maju pada 2030.

Kecerdasan Abang Johari dalam mendapatkan dana untuk tujuan pembangunan negeri tidak terbatas di situ, beliau pada 5 November 2018 menerusi sesi pembentangan Belanjawan Negeri 2019, mengumumkan pengenalan cukai lima peratus terhadap produk petroleum.

Cukai itu dijangka akan menjana pulangan berbilion ringgit setelah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2019.

Lebih banyak dana yang dimiliki kerajaan, bermakna lebih banyak pelaksanaan pembangunan - terutamanya di luar bandar yang masih banyak memerlukan ‘sentuhan’ - dapat direalisasikan.

Keupayaan Abang Johari mentadbir Sarawak dapat dilihat menerusi tiga siri belanjawan yang dibentangkannya sejak mengambil alih jawatan itu daripada Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Pada tahun pertama pentadbirannya, Belanjawan Negeri 2018, kira-kira 70 peratus atau RM5.745 bilion digunakan untuk tujuan pembangunan. 

Sejajar dengan matlamat Kerajaan Negeri, 53 peratus (RM3.062 bilion) daripadanya digunakan untuk pembangunan luar bandar.

Menerusi Belanjawan Negeri 2019, beliau menyediakan RM11.91 bilion - tertinggi dalam sejarah. 

Daripada jumlah itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9.07 bilion khas untuk pembangunan. 

Masih mengekalkan kepentingan terhadap pembangunan luar bandar, Abang Johari menyediakan 67 peratus daripada dana pembangunan untuk luar bandar.

Sikap mengutamakan pembangunan terus menonjol menerusi Belanjawan Negeri 2020. Daripada RM9.891 bilion, kerajaan memperuntukkan RM6.591 bilion untuk pembangunan. Kira-kira 63 peratus diperuntukkan pada tahun 2020 bagi melaksanakan pembangunan di luar bandar.

Pendapatan Sarawak diunjurkan RM10.067 bilion pada 2020. 

Setakat 30 September 2019, Sarawak telah memperoleh hasil RM5.653 bilion dan ia dijangka mengutip lebih menjelang akhir tahun, menurut Abang Johari ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2020.

Berdasarkan rancangan belanjawan pada tiga tahun - 2018, 2019 dan 2020 - ia membuktikan Abang Johari merupakan seorang pemimpin yang mempunyai perancangan jelas dalam membawa Sarawak ke status negeri maju pada 2030.

Manakala 81 inisiatif yang dilakukannya demi rakyat jelas menunjukkan beliau seorang pemimpin berwibawa. 

Antara inisiatif beliau ialah mempertahankan kepentingan, hak dan kedudukan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Penubuhan Unit Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR) pula dilihat sebagai pentadbiran Kerajaan Negeri yang saksama dari aspek anutan agama setiap kaum di Sarawak.

Sekolah Cina terus disokong demi masa depan anak-anak Sarawak.

 Abang Johari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak Keenam pada 13 Januari 2017.
DETIK BERSEJARAH: Abang Johari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak Keenam pada 13 Januari 2017.

Mengambil alih Empangan Hidro Elektrik Bakun yang sebelum ini dimiliki Kerajaan Persekutuan yang bertujuan membangunkan sektor tenaga dengan lebih intensif.

Komitmen Ketua Menteri bagi memastikan pentadbiran negeri berintegriti dan bebas rasuah terbukti apabila Sarawak juga merupakan negeri pertama yang meletakkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Unit Integriti dan Ombudsman pada Februari 2019.

Dalam pentadbiran, Abang Johari berpegang teguh dengan ajaran Islam.

“Saya ingin menyatakan bahawa sebagai seorang Islam yang taat kepada ajaran agama kita sedar bahawa apa-apa yang kita ada dalam bentuk harta tidak dibawa ke kubur apabila kita dipanggil oleh Ilahi, cuma yang dibawa ialah amalan kita ketika hidup.

“Saya tidak takut kepada sesiapa, tetapi takut kepada Allah,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, 13 November 2019.

Semua ini bertujuan agar Sarawak berada pada landasan yang betul ke arah mencapai negeri maju pada 2030.

 Abang Johari pada majlis penutupan program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO).
DUKUNG INTEGRITI: Abang Johari pada majlis penutupan program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO).
 Bekas Timbalan Pengarah SPRM Sarawak Zulhairy Zaidel (kanan) dilantik sebagai Ketua Pegawai Integriti Unit Integriti dan Ombudsman ketika majlis serah terima tugas daripada penggantinya Chang Ching pada Februari 2019, disaksikan Pengarah SPRM Sarawak Razim Mohd Noor.
TERAP BUDAYA INTEGRITI: Bekas Timbalan Pengarah SPRM Sarawak Zulhairy Zaidel (kanan) dilantik sebagai Ketua Pegawai Integriti Unit Integriti dan Ombudsman ketika majlis serah terima tugas daripada penggantinya Chang Ching pada Februari 2019, disaksikan Pengarah SPRM Sarawak Razim Mohd Noor.
 Abang Johari yang mesra rakyat sentiasa memikirkan cara untuk melaksanakan pembangunan.
BERJIWA RAKYAT: Abang Johari yang mesra rakyat sentiasa memikirkan cara untuk melaksanakan pembangunan.
 Pembangunan di luar bandar tidak pernah dipinggirkan agar rakyat Sarawak menikmati manfaat usaha kerajaan negeri.
MENYELURUH: Pembangunan di luar bandar tidak pernah dipinggirkan agar rakyat Sarawak menikmati manfaat usaha kerajaan negeri.
  • oleh
  • Advertisement