Anda di sini

Padah buat laporan polis palsu terhadap anak, bapa didenda RM1,000

Advertisement
 

KUCHING: Tindakan seorang bapa yang membuat laporan polis palsu terhadap anaknya dengan menyatakan dia dirompak membawa padah apabila dia didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Majistret Mohd Syukri Mokhtar juga menetapkan agar Affendi Abdullah, 55, dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Affendi membuat laporan palsu itu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching pada 10 Januari lalu, jam 9.30 malam. 

Difahamkan Affendi bertindak demikian gara-gara dia tidak berpuas hati terhadap anaknya.

Dia kemudian mengaku bersalah apabila pertuduhan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah terhadapnya. 

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 

Tertuduh yang beralamatkan di Kampung Rampangi itu tidak diwakili peguam.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang remaja berusia 18 tahun dibebas dengan bon berkelakuan baik dua tahun dan jaminan RM3,000 beserta seorang penjamin kerana melakukan kesalahan menipu.

Perintah itu dikeluarkan mahkamah setelah meneliti pengakuan salah dan rayuannya, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukan, kepentingan awam serta laporan akhlak remaja terbabit yang dibentangkan oleh pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuching. 

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah menipu seorang remaja perempuan seusia dengannya untuk menyerahkan wang berjumlah RM200 sebagai deposit untuk pembelian dua buah telefon bimbit yang dibuat secara ansuran.

Dalam hal ini, remaja lelaki itu menawarkan telefon bimbit tersebut dengan harga RM600.

Mereka kemudian berjumpa di sebuah premis di Jalan Tun Abang Haji Openg pada jam 10.35 pagi, 6 Disember tahun lalu. 

Namun, setelah membayar deposit, tertuduh tidak memberikannya sebarang resit dan surat.

Oleh itu, mangsa berasa tertipu dan membuat laporan polis sehingga tertuduh ditangkap pada 13 Disember tahun lalu. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Advertisement