Anda di sini

Kemenangan besar di Golden Globe cerahkan lagi harapan Oscar 1917

POSTER FILM 1917
POSTER FILM 1917

FILEM arahan Sam Mendes ‘1917’, satu gambaran yang inovatif dan amat peribadi mengenai Perang Dunia I, telah menjadi calon utama untuk menang besar di Anugerah Oscar selepas ia mencatatkan kemenangan yang dramatik di Anugerah Golden Globe.

Filem itu – yang diilhamkan oleh cerita yang disampaikan oleh datuk Mendes yang merupakan veteran tentera ketika dia masih kanak-kanak – menceritakan tentang dua askar British yang menjalani misi berbahaya di kawasan padang jarak padang tekukur.

Mereka mesti menempuh keadaan yang boleh menyebabkan kematian untuk menyampaikan mesej penting yang mengarahkan agar serangan yang dirancangkan ke atas medan depan Jerman dibatalkan.

Filem itu memenangi drama terbaik, hadiah paling berprestij di Anugerah Golden Globe, selain pengarah terbaik untuk Mendes – dengan menewaskan calon pilihan utama seperti Martin Scorsese (‘The Irishman’) dan Quentin Tarantino (‘Once Upon a Time... in Hollywood’).

“Ia merupakan usaha berpasukan terbesar dalam sejarah,” kata pelakon utama bersama George MacKay kepada AFP beberapa minit selepas hadiah utama diumumkan, dan menambah dia “teruja, amat teruja sekali”.

Dalam eksperimen pembikinan filem yang radikal, Mendes dan pakar sinematografi Roger Deakins membuat penggambaran yang beralih daripada parit besar kepada medan perang yang penuh kawah dan menerusi sebuah bandar yang musnah di Perancis, dalam penggambaran yang seakan-akan dibuat sekali dan secara berterusan selama dua jam.

“Mereka tidak pernah membuat sebuah filem dalam satu penggambaran berterusan. Tiada seorang pun daripada kami pernah melakukannya,” kata Dean-Charles Chapman, seorang lagi pelakon utama dalam filem itu, kepada AFP di satu acara Beverly Hills yang dihoskan oleh BAFTA, versi Britain bagi Akademi filem itu.

Chapman dan MacKay menceritakan bagaimana mereka mengadakan cubaan untuk adegan berkenaan selama enam bulan, “membaca adegan dalam kawasan terbuka” sementara mereka merancang dialog dan pergerakan mereka sehingga ia menjadi memori otot.

Sementara itu, set yang begitu terperinci sekali dengan skala yang tepat sama sekali telah dibina di sekeliling mereka.

“Kita berjalan di sepanjang pancang tajam sepanjang lantai sebagai tanda – terdapat tembok, terdapat permulaan, terdapat penamat,” kata Chapman.

“Perlahan-lahan set itu akan menjadi sebuah parit besar, dan kemudian kita akan menyesuaikan saiz set dengan adegan. Dan kita akan melakukannya dengan setiap adegan – ia memakan masa enam bulan untuk dibuat.”

MEMBUATKAN PENONTON TERTANYA-TANYA

SAM MENDES
SAM MENDES

Pendekatan berani itu jelas berhasil apabila kemenangan di Anugerah Golden Globe, yang membuka musim anugerah di Hollywood, telah menyaksikan taruhan untuk ‘1917’ di Anugerah Oscar yang amat penting pada bulan depan diturunkan.

Ia dijangka bersaing untuk filem terbaik, pengarah terbaik dan beberapa kategori teknikal – tetapi bintangnya yang agak tidak terkenal tidak ada dalam perbualan anugerah.

Mendes berkata dia dengan sengaja memilih pelakon yang bukan “bintang filem besar” untuk membantu penonton berempati dengan mereka – dan membuat penonton tertanya-tanya sama ada mereka akan hidup ataupun tidak.

“Mungkin kedua-dua mereka akan terbunuh – saya tidak tahu. Sedangkan jika ia adalah Leonardo DiCaprio, maka mungkin kita tahu dia akan hidup,” kata Mendes kepada AFP di Paris pada bulan lepas.

Chapman paling terkenal kerana membawa watak raja kanak-kanak Tommen Baratheon dalam ‘Game of Thrones’, manakala MacKay ada watak sokongan dalam komedi pada 2016 ‘Captain Fantastic’.

Sementara ‘1917’ memaparkan bintang British seperti Colin Firth, Benedict Cumberbatch dan Andrew Scott, ia hanya watak-watak yang lebih kecil.

‘FILEM PALING PERIBADI’

Asas bagi komplot itu adalah cerita khusus yang disampaikan oleh datuk Mendes, Alfred, kepadanya tentang berkhidmat sebagai utusan di Medan Perang Barat.

Ini dilengkapi laporan sebenar yang lain mengenai peperangan itu yang diambil dari surat, diari dan penyelidikan lain.

“Saya agak ia adalah yang paling peribadi bagi saya kerana ia datang langsung dari saya, walaupun saya rasa saya tidak pernah membuat filem yang tidak peribadi pada peringkat tertentu,” kata Mendes.

Filem itu ternyata ada ciri peribadi juga bagi para pelakonnya.

Chapman memberitahu AFP bagaimana penyelidikannya bagi watak Lans Koperal Blake membantunya menemui tulisan jurnal oleh moyangnya sendiri dalam sebuah buku bertajuk ‘The Western Front Diaries’.

Pelakon tersebut juga melawat Perancis dan Belgium untuk melihat tapak perang sebenar. Penggambaran filem itu dibuat di England.

Penggambaran ‘1917’ yang bersifat kolaboratif itu mencerminkan kandungan filem, apabila pelakon belajar mengenai pengalaman buruk yang dialami moyang mereka bersama di dalam parit besar di medan perang, jelas mereka.

“Terdapat banyak tema dari segi emosi dan secara harfiah, mengenai cerita itu dan apa yang dilalui watak-watak, yang saling berkaitan dalam pembikinan filem itu,” kata MacKay.

“Ia adalah sesuatu yang hebat di mana keistimewaan pengalaman itu menyelarikannya yang diterima dengan begitu positif,” tambahnya. — AFP