Anda di sini

Jalan pesisir nadi kehidupan rakyat luar bandar

Advertisement
 Abang Johari bersama tetamu melakukan tinjauan di atas Jambatan Tandang Sari, Sungai Rimbas Pusa.
UNTUK RAKYAT: Abang Johari bersama tetamu melakukan tinjauan di atas Jambatan Tandang Sari, Sungai Rimbas Pusa.

NADI bagi rakyat luar bandar, begitulah pentingnya jalan pesisir kepada masyarakat luar bandar dalam meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka sekali gus menyumbang ke arah pendapatan negeri ini.

Dalam usaha itu, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kini giat menaik taraf jalan pesisir di negeri ini yang dianggarkan sepanjang 896 kilometer dari Sematan hingga Miri.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata, jalan pesisir mempunyai tiga komponen utama bagi menghubungkan kawasan berkepadatan penduduk tinggi di sepanjang jalan pesisir dari Sematan hingga Miri dengan bandar utama di Sarawak.

Beliau memberitahu, ia bukan sahaja akan memendekkan jarak perjalanan dari selatan ke utara malah memaju dan membangunkan kawasan pesisir di negeri ini.

“Komponen pertama dengan pembinaan tujuh jambatan di laluan feri sedia ada, antaranya Batang Rambungan, Batang Lupar, Batang Saribas, Sungai Krian, Batang Paloh, Muara Lassa dan Batang Igan.

“Komponen kedua pembinaan laluan terputus atau ‘missing link’ seperti Jalan Pasi, Sarikei-Tanjung Manis, Mukah termasuk Jambatan Batang Rajang, selain Jalan Bintulu-Jepak termasuk Jambatan Kuala Kemena.

“Satu lagi laluan kedua Kuching-Samarahan termasuk Jambatan Sungai Sarawak di Demak Laut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perkongsian strategik tentang Program Pembangunan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Untuk Sarawak sempena konvensyen gabungan itu 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 November lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu menambah, komponen ketiga pula melibatkan kerja-kerja menaik taraf 331 kilometer jalan pesisir sedia ada merangkumi 23 pakej dengan peruntukan RM500 juta.

Sehubungan itu Julaihi berkata, dengan siapnya jalan pesisir ini kelak akan membuka kawasan bandar baharu untuk tujuan pembangunan dan meningkatkan serta memudahkan perhubungan sebagai jalan alternatif kepada Jajaran Jalan Pesisir dan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.

 Abang Johari ditemani pemimpin GPS lain melaungkan kata-kata semangat.
UTAMAKAN SARAWAK: Abang Johari ditemani pemimpin GPS lain melaungkan kata-kata semangat.

Jalan pesisir dinaik taraf

Mengulas lanjut projek jalan pesisir beliau menjelaskan, ia dilaksanakan secara berperingkat yang mana pakej pertama iaitu Pakej Jalan Sungai Buloh-Kampung Sungai Ladong sepanjang 9.65 kilometer dengan kos RM11.7 juta secara rasminya telah bermula 19 Oktober lalu.

Tambahnya, dua daripada 23 pakej itu telah dianugerahkan kepada kontraktor terlibat menerusi tender terbuka. 

“Untuk permulaan kerja menaik taraf jalan pesisir ini dimulakan dengan Pakej Jalan Sungai Buloh-Kampung Sungai Ladong sepanjang 9.65 kilometer dengan kos RM11.7 juta secara rasminya telah bermula. 

“Satu lagi pakej yang sudah pun bermula dan dianugerahkan kepada kontraktor adalah Pakej Sungai Nyalau-Bakam, Miri manakala pakej-pakej lain dijalankan secara berperingkat,” katanya. 

Pada masa sama Julaihi menjelaskan, baki pakej naik taraf jalan pesisir yang belum dianugerahkan itu masih lagi dalam proses reka bentuk. 

“Standard jalan ini dinaik taraf ke R3 dengan dua laluan yang mana bahu jalan turut dilebarkan,” jelasnya. 

“Kita menyasarkan pakej lain itu dapat ditender kalau tidak sempat hujung tahun ini, awal tahun depan,” tambahnya. 

Menurutnya, naik taraf jalan pesisir itu penting dijalankan dengan hasrat untuk menjadikan laluan ini selesa digunakan rakyat terutamanya penduduk luar bandar. 

Malah Julaihi menegaskan, jalan pesisir antara laluan yang sibuk dan sememangnya wajar dinaik taraf berikutan kepentingannya dalam mempermudahkan aktiviti ekonomi rakyat luar bandar. 

“Ini yang menjadi kepentingan dan agenda utama Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. 

“Kita faham keperluan rakyat di luar bandar maka kita teruskan usaha ini selain daripada projek pembinaan jambatan di laluan jalan pesisir ini dan jalan baharu atau jaringan terputus untuk menghubungkan laluan di jalan pesisir,” ujarnya. 

Justeru, beliau berharap apabila kerja menaik taraf jalan pesisir siap kelak, ia dapat membantu membuka kawasan luar bandar menjadikan kawasan maju. 

Tiga komponen utama jalan pesisir

1. Pembinaan tujuh buah jambatan di laluan feri sedia ada. Antaranya ialah di Batang Rambungan, Batang Lupar, Batang Saribas, Sungai Krian, Batang Paloh, Muara Lassa dan Batang Igan.

2. Pembinaan jalan ‘Missing Link’ yang merangkumi:

* Jalan Pasi, Sarikei/TanjungManis, Mukah termasuk Jambatan Batang Rajang;

* JalanBintulu/Jepak, Bintulu termasuk Jambatan Kuala Kemena; dan

* Laluan kedua Kuching/Samarahan termasuk Jambatan Sungai Sarawak di Demak Laut.

3. Menaik taraf 331km jalan pesisir sedia ada (merangkumi 23 pakej)

  • oleh
  • Advertisement