Anda di sini

Ibu tunggal hidap tibi hilang punca pendapatan

 Mariam bersama salah seorang anaknya Nur Darianna menghidap penyakit tibi yang menyebabkannya hilang punca pendapatan merayu bantuan orang ramai bagi meringankan beban yang dialami demi kelangsungan hidupnya bersama enam anak di Kampung Sabak, Kota Bharu di sini. Beliau sebelum ini yang bekerja di tempat pemprosesan keropok di bandar ini dengan kadar upah RM50 sehari terpaksa berhenti kerja apabila kesihatannya mula merosot sejak dua tahun lalu. — Gambar Bernama
BANTU: Mariam bersama salah seorang anaknya Nur Darianna menghidap penyakit tibi yang menyebabkannya hilang punca pendapatan merayu bantuan orang ramai bagi meringankan beban yang dialami demi kelangsungan hidupnya bersama enam anak di Kampung Sabak, Kota Bharu di sini. Beliau sebelum ini yang bekerja di tempat pemprosesan keropok di bandar ini dengan kadar upah RM50 sehari terpaksa berhenti kerja apabila kesihatannya mula merosot sejak dua tahun lalu. — Gambar Bernama

KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal yang hilang punca pendapatan susulan penyakit tibi yang dihidapinya merayu bantuan bagi meringankan beban demi kelangsungan hidupnya.

Mariam Mat Deris, 53, berkata dia sebelum ini be-kerja di tempat pemprosesan keropok di bandar ini dengan upah RM50 sehari namun terpaksa berhenti kerja selepas disahkan menghidap batuk kering atau tibi sejak dua tahun lepas.

Katanya dia perlu ke klinik kesihatan terdekat setiap bulan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengambil ubat bagi merawat penyakitnya dan berikutan rumahnya terletak jauh di pedalaman dan tidak mempunyai pengangkutan dia terpaksa berjalan sejauh kira-kira 2.5 kilometer untuk menaiki bas.

“Bagi meneruskan kehidupan, saya kini hanya mengharapkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sabak di sini.

Menurutnya, dia juga perlu menanggung anak bongsunya Nur Darianna Abdullah, 11, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sabak.

“Saya tidak mahu menyu-sahkan lima lagi anak yang lain memandangkan ada yang masih tidak bekerja dan jika yang bekerja pun hanya cukup untuk menampung keperluan hidup mereka sahaja,’ katanya.

Mariam berkata sejak 40 tahun lepas dia juga terpaksa mengharungi laluan becak untuk keluar masuk ke rumahnya akibat lumpur disebabkan air pantai berdekatan.

“Selain keperluan wang, saya juga berharap ada pihak yang datang membantu untuk meletakkan pasir atau batu kecil di kawasan hadapan rumah untuk memudahkan kami keluar masuk tanpa perlu mengharungi becak,” katanya.

Mana-mana pihak  yang ingin membantu boleh menya-lurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0300141000059337 atas nama Mariam Mat Deris atau menghubunginya di talian 01114177602. — Bernama