Anda di sini

Dasar Ekonomi Digital langkah berani Abang Johari

Advertisement
 Abang Johari melancarkan aplikasi Sarawak Pay sebagai platform baharu untuk Masjid Darul Hana Patingan di Kuching mengumpul dana pada Jun 2019.
PELBAGAI GUNA: Abang Johari melancarkan aplikasi Sarawak Pay sebagai platform baharu untuk Masjid Darul Hana Patingan di Kuching mengumpul dana pada Jun 2019.

DASAR Ekonomi Digital merupakan langkah berani dan tepat oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari bagi mencapai status negeri maju menjelang 2030. 

Sejak diperkenalkan pada 2017, Sarawak kini berganjak daripada ekonomi tradisional kepada ekonomi digital berasaskan teknologi pintar dalam hampir semua sektor.

Ini termasuk dalam sektor pertanian, pengeluaran  Industri 4.0, pelancongan, bandar pintar,kesihatan, e-dagang, kerajaan digital, pengangkutan dan sosial. 

Bagi menyokong ekonomi digital ini, kerajaan negeri turut memperkenalkan aplikasi dompet elektronik atau e-dompet sendiri iaitu Sarawak Pay. 

Selain itu, kerajaan negeri juga memperuntukkan sejumlah besar bagi meningkatkan infrastruktur digital dengan membina menara telekomunikasi. 

 Abang Johari melancarkan aplikasi Sarawak Pay di KK Mart di Kota Sentosa pada Mei 2019.
SEMAKIN MELUAS: Abang Johari melancarkan aplikasi Sarawak Pay di KK Mart di Kota Sentosa pada Mei 2019.

SARAWAK PAY

Aplikasi e-dompet Sarawak Pay merupakan idea Abang Johari bagi mengubah gaya hidup rakyat ke arah tanpa tunai. 

Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Dr Zaidi Razak berkata, Sarawak Pay berkembang dengan sangat baik sejak diperkenalkan pada November 2017. 

Setakat 29 Disember, 2019 katanya, Sarawak Pay telah mencapai seramai 184,644 pengguna dan 11,277 peniaga dengan transaksi berjumlah RM164 juta. 

“Sarawak Pay diperkenalkan untuk menggalakkan rakyat beralih kepada gaya hidup tanpa tunai selain memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat. 

“Menerusi Sarawak Pay, rakyat khususnya pengguna kini tidak lagi perlu ke kaunter untuk membayar bil utiliti. 

“Sarawak Pay juga mempunyai ciri-ciri di mana pengguna boleh memindahkan wang, pengeluaran tunai menerusi Ejen Bank BSN (EB BSN) dan menerima ganjaran tunai bagi setiap transaksi,” katanya. 

Tambah Dr Zaidi, Sarawak Pay merupakan aplikasi e-dompet pertama yang menawarkan perkhidmatan pengeluaran tunai menerusi EB BSN bagi rakyat di luar bandar.

“Ia agak inovatif dan idea ini adalah daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di mana beliau mahu perkhidmatan Sarawak Pay ini diperluaskan ke luar bandar,” katanya.

 Abang Johari menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Menara Telekomunikasi di Luban Ulu Spaoh, Betong pada Mac 2019.
PERLUASKAN: Abang Johari menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Menara Telekomunikasi di Luban Ulu Spaoh, Betong pada Mac 2019.

PERTANIAN PINTAR

Sarawak menyasarkan untuk menjadi pengeksport tetap makanan pada 2030. 

Bagi mencapai sasaran tersebut, kerajaan negeri menekankan kepada pertanian pintar.

Kerajaan negeri menurut Dr Zaidi, membelanjakan sejumlah peruntukan untuk menaik taraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rampangi di Petra Jaya. 

TKPM Rampangi ini katanya, dinaik taraf sebagai pusat pameran latihan pertanian pintar menggunakan teknologi IoT atau Internet of Things dan sistem fertigasi. 

“Menggunakan teknologi IoT ini, pengusaha pertanian boleh memantau perkembangan dan pertumbuhan tanaman mereka menerusi telefon pintar. 

“Malah dari segi kualiti, tanaman menggunakan teknologi IoT dan sistem fertigasi adalah lebih baik serta mencatat pengeluaran hasil yang lebih cepat,” katanya. 

Mengambil contoh tanaman rock melon menggunakan sistem fertigasi di TKPM Rampangi, setiap satu struktur pelindung hujan (SPH) mampu keluarkan 1.5 tan. 

Sehubungan itu kata Dr Zaidi, teknologi IoT dan sistem fertigasi akan diperluaskan ke tempat-tempat lain selain TKPM Rampangi. 

 Abang Johari (empat kiri) melihat pelan Bandar Pintar pada perasmian bangunan baharu SMA. Turut kelihatan Dr Zaidi (tiga kiri).
MEMBANGGAKAN: Abang Johari (empat kiri) melihat pelan Bandar Pintar pada perasmian bangunan baharu SMA. Turut kelihatan Dr Zaidi (tiga kiri).

MENARA TELEKOMUNIKASI

Kerajaan negeri kini dalam proses membina 300 menara telekomunikasi di seluruh negeri bagi menyokong pembangunan ekonomi digital. 

Dr Zaidi berkata, daripada jumlah tersebut lebih 200 menara telah dikeluarkan notis pembinaan kerja. 

Sebelum notis dikeluarkan, persetujuan daripada pemilik tanah mesti diperolehi dan kerja-kerja awalan pembinaan seperti siasatan tanah telah dilakukan. 

Namun katanya, disebabkan cuaca yang tidak menentu sekarang, sebahagian kerja tidak dapat dijalankan dan mengalami kelewatan.

“Harapan kita menjelang suku pertama 2020 semua 300 menara telah didirikan dan pemasangan perkhidmatan boleh dibuat pada suku kedua tahun 2020 atau lebih awal,” kata Dr Zaidi. 

PANDANGAN

Abang Johari dilihat sebagai seorang pemimpin yang berpandangan jauh dan tidak mahu rakyat negeri ini ketinggalan apabila memulakan dasar ekonomi digital. 

Malah kerajaan persekutuan kini menurut Dr Zaidi, turut berganjak kepada ekonomi digital. 

“Apa yang dirancang oleh Ketua Menteri adalah untuk membawa rakyat negeri ini melonjak ke tahap seterusnya. 

“Sarawak menjadi peneraju dalam ekonomi digital dan dapat dilihat banyak inisiatif Sarawak disalin pihak lain,” katanya sambil menegaskan bahawa Sarawak kini berada di landasan tepat ke arah ekonomi digital. 

Ringkasan

Sarawak Pay

* 184,644 pengguna

* 11,277 peniaga

* RM164 juta transaksi

* Lebih RM1 juta perbelanjaan sehari

Menara Telekomunikasi

* Anggaran kos bagi mendirikan 300 menara telekomunikasi kurang daripada RM600 juta.

* Sasaran 99 peratus liputan telekomunikasi menjelang 2025.

  • oleh
  • Advertisement