Anda di sini

AirAsia, Malaysia Airlines batal penerbangan ke Manila susulan letusan Gunung Berapi Taal

Advertisement
 
Gunung Berapi Taal merupakan tarikan pelancong yang popular di tengah-tengah tasik yang indah di Filipina
Gunung Berapi Taal merupakan tarikan pelancong yang popular di tengah-tengah tasik yang indah di Filipina - Gambar AFP

KUALA LUMPUR: AirAsia dan Malaysia Airlines hari ini  mengumumkan pembatalan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Manila berikutan letusan gunung berapi di Filipina yang bermula semalam.

Gunung Berapi Taal di selatan Manila memuntahkan lava hari ini dan keadaan itu memungkinkan gunung berapi terbabit meletup dalam masa beberapa jam hingga beberapa hari.

AirAsia dalam kenyataan berkata syarikat itu menggantung dan membatalkan penerbangan ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA) di Manila. Lapangan terbang telah menghentikan operasi sementara sehingga notis selanjutnya.  

“Pelanggan AirAsia yang melakukan penerbangan dalam tempoh beberapa hari akan datang, diminta memeriksa status penerbangan mereka di airasia.com/flightstatus untuk kemas kini terkini,” menurut kenyataan itu. AirAsia berkata ia telah memaklumkan semua penumpang yang terjejas melalui e-mel dan SMS.

Sementara itu, Malaysia Airlines dalam kenyataan berkata penerbangan menuju NAIA akan digantung berikutan penutupan lanjut lapangan terbang itu.

Penerbangan yang terjejas dari Kuala Lumpur ke Manila hari ini ialah MH806, MH704 dan MH804 manakala penerbangan dari Manila ke Kuala Lumpur adalah MH805, MH705 dan MH807.

Penerbangan esok, MH805 dari Manila ke Kuala Lumpur juga terjejas.

Malaysia Airlines berkata ia mengawasi dengan teliti situasi itu dan akan menyesuaikan penerbangannya apabila perlu.

“Penumpang dinasihatkan untuk memeriksa status penerbangan mereka di laman web Malaysia Airlines atau aplikasi mudah alih dan mereka juga perlu mengemas kini butiran hubungannya di bahagian Manage My Booking di laman web,” menurut kenyataan itu.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) menangguhkan sementara penerbangan keluar dan masuk di NAIA malam tadi susulan kehadiran kepulan awan debu di laluan utama trafik udara.

Ribuan penduduk dipindahkan dari kawasan berhampiran gunung berapi, yang terletak di tengah-tengah tasik kira-kira 70km di selatan Manila, selepas ia membebaskan debu panas sehingga 15km ke ruang udara.

Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina menaikkan status amaran kepada tahap 4 menunjukkan letusan berbahaya. - Bernama 

Advertisement