Anda di sini

Abang Johari terus berjuang kembalikan hak Sarawak

Advertisement
 Abang Johari berbual dengan (dari kiri) ) Liew, Dr Mahathir, Azmin dan Lim.
MESRA: Abang Johari berbual dengan (dari kiri) ) Liew, Dr Mahathir, Azmin dan Lim.

KETUA Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berikrar meneruskan perjuangan bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem mengembalikan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sejak mula memegang tampuk kepimpinan Sarawak pada 13 Januari 2017.

Beliau memberi jaminan kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bersungguh-sungguh memastikan kuasa Sarawak yang terhakis selama ini diberikan semula.

Ternyata ia bukan hanya ikrar kosong kerana Abang Johari membuktikan kesungguhannya itu apabila melakar beberapa pencapaian untuk menurunkan kuasa pentadbiran kepada Sarawak sejak dua tahun lalu.

Pada 6 Mac 2019 Sarawak menubuhkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan mengumumkan ia telah mengambil alih sepenuhnya hak perlombongan minyak dan gas di dalam wilayahnya.

Penubuhan PETROS merupakan sebahagian daripada janji kerajaan persekutuan untuk mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis dalam MA63.

Ketika berucap pada majlis pelancaran PETROS di Kuching pada 17 Mac 2017 Abang Johari berkata, pencapaian itu sekali gus memberi kuasa kawal selia penuh kerajaan negeri dalam industri huluan dan hiliran minyak dan gas di negeri ini.

Kuasa kawal selia Kerajaan Negeri Sarawak terhadap industri minyak dan gas diperkukuhkan apabila Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 dikuatkuasakan PETROS.

Pada 10 Julai 2018 Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan Rang Undang-Undang Perlombongan Minyak (Pindaan) 2018 bagi mengemas kini beberapa peruntukan dalam OMO 1958 selain memastikan ordinan tersebut seiring dengan amalan serta operasi semasa sektor huluan dan hiliran industri minyak dan gas negara.

Usaha mendapatkan semula hak-hak Sarawak dalam MA63 yang terhakis sebelum ini mendapat sokongan kerajaan persekutuan baharu di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad apabila pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu berikrar mengembalikan hak Sabah dan Sarawak ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2018 di Sabah.

Pada 1976, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda sekali gus menurunkan status Sabah dan Sarawak sebagai negeri ke-12 dan ke-13 dalam Malaysia.

Rentetan itu Jawatankuasa Kabinet untuk menangani isu MA63 ditubuhkan pada 10 Oktober 2018 dianggotai 16 ahli diketuai Dr Mahathir iaitu Abang Johari, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kerja Raya Baru Bian, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah, Peguam Negara Tommy Thomas, Profesor Undang-Undang Universiti Malaya Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, Peguam Besar Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid dan Peguam Besar Sabah Zaleha Rose Pandin.

Sehari selepas itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengadakan pertemuan dengan Abang Johari bagi membincangkan isu-isu berkaitan MA63.

Jawatankuasa Pemandu MA63 mengadakan mesyuarat pertamanya pada 17 Disember 2018 dan tugas utamanya ialah menyelesaikan 21 isu dengan 13 daripadanya isu bersama melibatkan Sabah dan Sarawak, lapan lagi mengkhusus kepada Sabah.

Pada 1 Januari 2019 Sarawak menguatkuasakan Cukai Jualan Negeri sebanyak lima peratus (5%) untuk produk-produk petroleum yang dihasilkan di negeri ini.

 Abang Johari (tengah) dan Shafie (kiri) tiba di pejabat Perdana Menteri untuk mengadakan rundingan dengan Dr Mahathir pada 16 Disember 2019.
BINA SEPAKAT: Abang Johari (tengah) dan Shafie (kiri) tiba di pejabat Perdana Menteri untuk mengadakan rundingan dengan Dr Mahathir pada 16 Disember 2019.

EMPAT ISU BERBANGKIT

Pada sidang media 3 Januari 2019 Abang Johari memaklumkan Sarawak telah membangkitkan empat isu yang tidak boleh dibincangkan Jawatankuasa Pemandu MA63 iaitu kuasa imigresen, hak menguatkuasakan ordinan-ordinan negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan, melindungi sempadan negeri (Sarawak) dan kedaulatan di laut, bawah tanah dan sumber dalam negeri.

Sarawak juga katanya, telah membangkitkan lima isu yang perlu dibincangkan Jawatankuasa Khas Kabinet pertama keperluan mengkaji semula peruntukan khas untuk Sarawak dan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Kedua, hak untuk mendapatkan hasil tambahan di bawah Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan; ketiga kuasa lebihan di bawah Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan.

Keempat, tanah bukan lagi diperlukan oleh kerajaan persekutuan tetapi diletakkan di bawah Suruhanjaya Tanah Persekutuan; kelima pelaksanaan kuasa berkaitan pendidikan, perubatan dan kesihatan yang tidak memuaskan.

 Abang Johari (kiri) memberi pandangan semasa mengadakan rundingan bersama Dr Mahathir. Turut kelihatan Shafie.
BERANI: Abang Johari (kiri) memberi pandangan semasa mengadakan rundingan bersama Dr Mahathir. Turut kelihatan Shafie.

Semasa mesyuarat Jawatankuasa Pemandu itu, Abang Johari mempersoalkan cubaan Lim menghentikan tindakan Sarawak melaksanakan cukai jualan petroleum.

Beliau menegaskan cukai jualan berkenaan dinyatakan dengan jelas dalam Bahagian 5, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, sumber-sumber pendapatan tambahan diberikan kepada Sabah dan Sarawak termasuk duti import dan duti eksais ke atas produk petroleum.

Cukai jualan 5% produk petroleum akan menjana pendapatan diunjurkan RM3.897 bilion pada 2019.

Pada 19 Ogos 2019, Jawatankuasa Khas Kabinet telah menyelesaikan 21 isu berkaitan pelaksanaan MA63 di Sabah dan Sarawak manakala 14 isu melibatkan Sabah dan Sarawak memerlukan rundingan lanjut.

Isu-isu berkenaan antara lain kerajaan persekutuan bersetuju menyerahkan kuasa kawal selia pengagihan gas di Sarawak kepada kerajaan negeri mengikut Ordinan Pengagihan Gas 2016.

Sabah dan Sarawak juga bersetuju membentuk jawatankuasa untuk meningkatkan kerjasama dalam kerja-kerja awam yang dibiayai oleh persekutuan.

 Abang Johari (enam kanan) bersama Dr Mahathir (tujuh kanan) serta ahli Jawatankuasa Pemandu MA63 merakam gambar kenangan pada 18 November 2019.
PERTEMUAN: Abang Johari (enam kanan) bersama Dr Mahathir (tujuh kanan) serta ahli Jawatankuasa Pemandu MA63 merakam gambar kenangan pada 18 November 2019.

Mengenai bekalan buruh, kerajaan persekutuan tidak membantah usaha menyerahkan kuasa kepada Sabah dan Sarawak menerusi perundangan subsidiari ‘syarat buruh yang khusus kepada negeri (Sarawak)’ di bawah peraturan buruh negeri masing-masing.

Bagi isu kesihatan pula, kerajaan persekutuan dan Sabah dan Sarawak bersetuju untuk membentuk jawatankuasa pengurusan khas yang akan berbincang secara berkala mengenai isu tersebut.

Isu-isu pertanian dan perhutanan telah digugurkan semasa mesyuarat kerana kedua-dua isu itu telah disenaraikan di bawah senarai Pasukan Petugas Khas MA63 dengan laporan akhir dibentangkan pada mesyuarat berikutnya.

Rundingan itu dikatakan seiring ikrar dalam manifesto PH semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 iaitu mahu mengkaji semula pelaksanaan MA63.

Mengenai isu berkaitan royalti minyak dan gas Abang Johari semasa berucap pada satu majlis pada 20 Ogos 2018 berkata perkara itu akan dibincangkan secara berasingan antara beliau dengan Shafie dan Dr Mahathir.

Sementara itu, Dr Mahathir ketika di New York pada 27 September 2019 menyatakan harapan untuk menyaksikan Sarawak dan Sabah mendapat bayaran royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus mungkin tidak dapat dicapai meskipun ia merupakan antara janji dalam manifesto pilihan raya PH.

Bagaimanapun semasa mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63 pada 4 November 2019 memutuskan isu-isu mengenai royalti minyak dan bayaran tunai bagi petroleum dan gas yang diekstrak di Sabah dan Sarawak akan dibincangkan secara berasingan bulan berikutnya (Disember 2019).

Perbincangan yang diadakan antara Perdana Menteri Dr Mahathir Abang Johari Tun Openg dan Shafie Apdal akan berasaskan ‘perniagaan ke perniagaan’ antara Petronas, PETROS dan Kerajaan Sarawak.

Jawatankuasa ini juga menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan pihak berkuasa pengawalseliaan mengenai pembahagian gas dan elektrik serta bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan dan Kerjasama Projek Persekutuan untuk memantau mekanisme serta pelaksanaan projek-projek persekutuan di Sabah dan Sarawak.

Pada 16 Disember 2019 Abang Johari mengadakan rundingan bertiga dengan Dr Mahathir dan Shafie membincangkan isu-isu berkaitan hak-hak Sarawak dan Sabah ke atas sumber-sumber minyak dan gas di Putrajaya.

Mesyuarat itu adalah forum berasingan daripada Jawatankuasa Pemandu MA63 untuk membincangkan dan menangani isu-isu berkaitan dengan Sarawak dan Sabah berhubung hak minyak dan gas berbanding dengan Perlembagaan Persekutuan dan MA63.

Rakyat Sarawak sudah tentu akan terus menunggu lebih banyak berita baik daripada rundingan MA63.

 Abang Johari (kanan) bersama Shafie (kiri) dan Liew semasa mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63 pada 18 November 2019.
BINCANG: Abang Johari (kanan) bersama Shafie (kiri) dan Liew semasa mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63 pada 18 November 2019.
  • oleh
  • Advertisement