Anda di sini

Tahun 2019 'zero crime' di sekolah rendah dan menengah

Advertisement
 Habibi (tengah) merakamkan gambar album Program Keibubapaan dan Penutupan Perkhemahan 'Dare To stay Alone'.
ALBUM: Habibi (tengah) merakamkan gambar album Program Keibubapaan dan Penutupan Perkhemahan 'Dare To stay Alone'.

TAHUN 2019 merupakan 'zero crime' bagi semua sekolah rendah dan menengah di bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan melibatkan kegiatan jenayah melibatkan pelajar bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas.

Jelasnya, kejayaan kali pertama itu adalah hasil daripada usaha serta kerjasama di antara para ibu bapa, guru, masyarakat serta media yang telah memainkan peranan masing-masing.

Berbanding tahun 2018, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerima laporan kes penyalahgunaan dadah dan rogol tetapi tidak melibatkan pelajar secara keseluruhan.

Mengulas lanjut pencapaian IPD KK, Habibi mendedahkan pihaknya juga berjaya menurunkan jenayah indeks sebanyak 13.93 peratus sepanjang Januari hingga Disember tahun lepas dengan jumlah pengurangan 194 kes iaitu 1,199 kes (2019) berbanding 1,393 kes (2018).

Turut didedahkan, pecahan jenayah indeks tahun 2019 iaitu jenayah kekerasan yang mencatat 107 kes dan jenayah harta benda 1,092 kes.

Manakala penyelesaian indeks tahunan pula merekodkan 74.48 peratus untuk tahun lepas berbanding 75.16 peratus bagi tahun 2018.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Program Keibubapaan dan Penutupan Perkhemahan 'Dare To stay Alone' di Sekolah Menengah Maktab Sabah, kelmarin.

 Fatima Shara menyampaikan cenderamata kepada Habibi, diiringi Nuida (kanan).
CENDERAMATA: Fatima Shara menyampaikan cenderamata kepada Habibi, diiringi Nuida (kanan).

Mengenai penganjuran itu, beliau memuji usaha murni pihak sekolah dan kerjasama Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Maktab Sabah yang memberi pendedahan kepada ibu bapa berkaitan ilmu keibubapaan dalam melahirkan anak-anak yang cemerlang dari segi sahsiah dan akademik.  

"Usaha ini patut dipuji kerana kecemerlangan anak-anak bukan sahaja di tangan guru-guru tetapi yang paling utama adalah peranan ibu bapa.

"Dalam kehidupan hari ini, tugas dan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa atau penjaga anak-anak bukan lagi suatu kerja mudah.

"Perkembangan teknologi kini menuntut ibu bapa atau penjaga memahami keadaan sekeliling, mengetahui pendekatan dan cara-cara yang sesuai untuk mendidik dan membimbing anak-anak, serta mempunyai ilmu dan kemahiran keibubapaan yang mantap.  

"Oleh itu, setiap ibu bapa bertanggungjawab menjadikan peranan ini sebagai keutamaan dan melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran terkini agar mereka dapat menjalankan peranan ini dengan lebih berkesan," katanya.

Tambahnya, ibu bapa zaman ini lebih tercabar kerana anak-anak lebih bijak terutama dalam menguasai teknologi digital dan kebanyakan mereka sudah memiliki telefon pintar seawal usia lima hingga tujuh tahun.  

Malah, guru di sekolah juga berdepan dengan cabaran yang lebih besar apabila murid kini lebih pintar dan lebih terdedah dengan teknologi digital, internet dan juga pelbagai ancaman dalaman dan luaran dalam diri mereka.

Sebagai wakil pihak berkuasa, beliau berkata, polis amat mengalu-alukan kerjasama sekolah untuk berkongsi maklumat dan laporan bagi menangani gejala tidak sihat dan aktiviti berkaitan jenayah dalam kalangan pelajar termasuk menghantar seorang pegawai polis (seranta) bagi memantau keadaan di sekolah-sekolah mengikut keperluan.  

Guru boleh melaporkan segera isu jenayah yang melibatkan pelajar kepada pegawai seranta yang menjadi perantara polis dengan sekolah supaya kerjasama erat antara pihak sekolah dan polis boleh dicapai.

Hadir sama Yang Dipertua PIBG Datuk Fatima Shara Ahmad Noor dan Pengetua Cemerlang JUSA C Maktab Sabah Datin Nuida Alias, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Zunaida Zakaria dan Penolong Kanan KoKurikulum, Abdul Jaid Paki. - Artikel Jabatan Penerangan

Advertisement